Sebanyak RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan disasarkan melalui Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024 yang diadakan bagi tahun kedua.
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ia susulan kejayaan kempen tersebut pada tahun lalu yang meraih nilai jualan sehingga RM2.5 juta.
Kempen Mari Beli Lokal
Datuk Ewon Benedick berkata, kempen itu adalah bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di negara ini.
“Melalui adaptasi jualan dalam talian dengan menggunakan platform MyMall, secara langsung inisiatif ini membantu proses pendigitalan PMKS dan koperasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa kementerian sekali gus menyempurnakan Pelancaran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024 di Bizmilla Grand Hall, Shafbury Putrajaya pada Khamis.
Seramai hampir 500 usahawan dijangka akan menyertai kempen pada kali ini yang dikuasakan oleh platform digital tanpa caj iaitu MyMall.
Antara produk yang ditawarkan adalah jenama-jenama terkenal seperti Lima Waktu, Bulan Bintang, Shasya Habib, Primavalet, Bunga, Nur Aisyah, Ola Oli, V3, SKNN, Qi Rahman dan Agarbomb.
Artikel lain: AIM Catat Peratus Bayaran Balik Pinjaman Terbaik Pada Kadar 99.91% – KUSKOP
Sementara itu, Ewon telah mengadakan sesi walkabout Program Jualan MADANI Raya (PJMR) KUSKOP 2024, di Dataran Putrajaya pada Khamis.
Kementerian turut menyasarkan RM1.6 juta nilai jualan sepanjang penganjuran PJMR 2024 dengan menjangkakan seramai 300,000 kehadiran pengunjung sempena Festival Ramadan Putrajaya 2024 bermula 8 Mac hingga 9 April ini.
KUSKOP berkata, PJMR 2024 menyediakan 60 reruai jualan dengan pelbagai tawaran menarik barangan keperluan persiapan Aidilfitri dan keperluan harian pada diskaun sehingga 20 peratus sekali gus membantu meringankan bebanan rakyat.
“Antara pengisian menarik semasa sesi walkabout tersebut ialah pelancaran sesi happy hour dengan tawaran diskaun harga barangan sehingga 30 peratus dan penyampaian hadiah cabutan bertuah berupa peralatan elektrik dan hamper sumbangan agensi-agensi di bawah KUSKOP,” ujar KUSKOP.