Mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam khususnya anggota polis perlu dipertingkatkan manakala kedudukan bahasa Melayu sememangnya telah dikuasai tanpa tolak ansur.
Dipetik menerusi laporan Buletin TV3, Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitendan Ibrahim Mat Som tidak menafikan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah dalam kalangan segelintir anggota polis.
Foto: Facebook Polis Daerah Iskandar Puteri
Ibrahim berkata, beliau bersetuju bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan anggota polis berdepan kesulitan sewaktu berkomunikasi.
Beliau berkata demikian di Dewan Orkid IPD Iskandar Puteri sewaktu sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan Kursus Bahasa Inggeris.
Tambahnya lagi, golongan ini seharusnya merebut peluang dalam menguasai bahasa antarabangsa itu secara berperingkat dan berkesan.
Inisiatif Johor English Language Teaching Association (JELTA) yang menganjurkan kelas Bahasa Inggeris secara percuma selama empat bulan merupakan salah satu langkah komprehensif dalam membantu golongan anggota polis menguasai bahasa Inggeris dengan lebih fasih.
Foto: Facebook Polis Daerah Iskandar Puteri
“Bagi peringkat permulaan seramai 26 anggota polis yang menyertai kursus berkenaan dan daripada penguasaan ‘zero’ kini mereka mampu mencapai 30 peratus”, katanya.
Beliau turut menjelaskan, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan golongan itu akan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa dan diperluas dalam kalangan lebih ramai anggota dan mungkin akan memfokuskan juga kepada bahasa yang lain.
Sumber: Buletin TV3