Pemain bola sepak profesional Mesir, Mohamed El-Neny meluahkan rasa syukur dan bangga kerana telah merasmikan bilik solat di Stadium Emirates.
Menurut satu hantaran di Facebook, pemain berusia 32 tahun itu berkata, pembukaan bilik solat di stadium itu membolehkan pemain dan kakitangan kelab Arsenal untuk beribadah dan berdoa sekali gus dapat mengubah kehidupan mereka.
Foto: FB Mohamed El Neny
“Saya sangat berbangga untuk membuka bilik solat kita di Stadium Emirates ini.
“Saya benar-benar bersyukur kepada kakitangan dan semua yang terlibat dalam menjayakan pembukaan ini, Arsenal,” katanya pada Isnin.
Sementara itu, memetik laporan pulsesports, pembukaan bilik solat itu juga sejajar dengan komitmen Arsenal untuk memupuk budaya keterangkuman (inklusif) dalam kelab lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“Ramadan merupakan bulan suci bagi umat Islam di seluruh dunia, dimulai dengan berpuasa dari subuh hingga matahari terbenam dan dapat meningkatkan ibadah dan refleksi penganutnya,” ujarnya.
Foto: FB Mohamed El Neny
Advertisement. Scroll to continue reading.
Kelab bola sepak profesional England itu turut berhasrat untuk mewujudkan persekitaran di mana individu dari pelbagai latar belakang berasa disokong dan dihargai dengan pengiktirafan dan penghormatan terhadap amalan keagamaan mereka.
“Ketika Ramadan bulan yang mulia ini berlangsung, ruang solat yang baru dirasmikan di Stadium Emirates berdiri sebagai simbol komitmen Arsenal terhadap budaya pemahaman dan inklusif, memperkayakan lagi kehidupan seseorang yang beribadah di bulan suci ini,” tambahnya lagi.
Inisiatif yang diambil oleh kelab The Gunners itu sekali gus mencerminkan industri sukan semakin menyedari kepentingan menampung pelbagai keperluan pemain dan kakitangan mereka terutama dalam soal keagamaan.
Sumber: pulsesports, FB Mohamed El-Neny