Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nafi dakwaan Skim Perubatan MADANI (SPM) yang melibatkan klinik perubatan swasta (GP) dihentikan sepenuhnya.
Menurut laporan Berita Harian, menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan dakwaan itu adalah mengelirukan kerana inisiatif itu masih dilaksanakan untuk 10 daerah bagi fasa pertama yang dilancarkan pada 15 Jun tahun lalu.
Antara daerah tersebut adalah Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Johor Bahru, Kinta, Timur Laut, Kota Kinabalu dan Kuching bagi mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti KKM.
KKM nafi Skim Perubatan MADANI dihentikan
Artikel lain: KKM Lantik 1,197 Calon Simpanan, Isi Kekosongan Jawatan Tetap Kementerian
“Bermula 26 Februari lalu, Skim Perubatan MADANI menumpukan operasi dengan memberi tumpuan kepada 10 daerah (Fasa 1 SPM) bagi tujuan memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi dalam mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti KKM, memandangkan kesesakan di fasiliti KKM daerah lain telah berkurangan.
“Jadi skim ini telah diperluaskan ke 11 daerah pada 8 Ogos tahun lalu sebagai fasa kedua. Skim ini kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara pada 19 September lalu pada fasa ketiga. Jika lihat berdasarkan unjuran ke dapan, perbelanjaan seminggu di 10 daerah sebanyak RM1.7 juta.
“Skim Perubatan MADANI kembali menumpukan 10 daerah fasa satu memandangkan kemampanan pembiayaan (yang dialami kerajaan). (Bayangkan) Kalau kita buat seluruh negara, itu saja akan (menelan belanja) kos antara RM12 juta hingga 15 juta seminggu,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberi jawapan tersebut selepas ditanya oleh Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta penjelasan mengapa kerajaan membatalkan perkhidmatan Skim Perubatan MADANI di klinik swasta dan hanya meneruskan perkhidmatan di 10 daerah terpilih.
Mana tidaknya, kerajaan sebelum ini telah memperuntukan RM100 juta dalam Belajawan 2024 untuk inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mendedahkan sebanyak RM78.73 juta sudah dibelanjakan untuk manfaat dan setakat ini masih ada baki RM16.2 juta belum dibelanjakan.
Ujarnya, lebihan baki tersebut dijangka akan habis dibelanjakan pada April ini.
Sumber: Berita Harian (Fahmy A Rosli)