Seorang wanita hamil lima bulan ditangkap khalwat dengan lelaki bujang ketika suaminya tiada di rumah di kawasan Kulim Hi-Tech, di sini, tengah malam tadi.
Memetik laporan Kosmo! Online, pasangan itu dicekup berkhalwat dalam operasi pencegahan jenayah syariah dilakukan oleh Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), kira-kira 12 tengah malam.
Dalam operasi tersebut, wanita berusia 28 tahun terbabit ditemui di dalam rumah tersebut bersama seorang lelaki bujang berusia 29 tahun.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, berdasarkan maklumat, beliau bersama empat penguat kuasa melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Anwar Sharifudin berkata, pihaknya mengetuk pintu dan memberi salam sebelum seorang wanita membuka pintu kira-kira enam minit kemudian.
Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki di sebuah bilik rumah itu dan didapati mereka bukan suami isteri atau mahram.
“Ia menimbulkan syak berlakunya khalwat di rumah itu dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,”katanya.
Artikel lain: Ibu Tunggal Dicekup Khalwat Dengan Kekasih, Siap Bawa Anak ‘Check-In’ Bersama
Beliau memaklumkan, wanita berkenaan bekerja di Kulim, manakala suaminya bekerja di Ipoh, Perak dan mereka dipercayai baru tujuh bulan berkahwin.
Ujarnya, kesempatan tinggal berjauhan itu diambil oleh wanita terbabit ketika suaminya tiada di rumah untuk membawa lelaki itu tinggal bersamanya.
“Soal siasat juga mendapati wanita itu sudah setahun berkenalan dengan lelaki itu yang mana mereka bekerja di syarikat sama di kawasan Kulim Hi-Tech.
“Lelaki itu memberi alasan hanya singgah sekejap di rumah wanita terbabit, namun pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal di situ lebih dari sehari berdasarkan penemuan pakaiannya yang banyak di rumah tersebut.
Pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan dan tangkapan serta diambil keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Kosmo! Online (Azahar Hashim)