Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meluncurkan Portal Pusat Sumber KPT yang dibangunkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan melalui Pusat Sumber KPT.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata portal tersebut dibangunkan bagi mempertingkatkan kemahiran warga KPT sebagai pekerja yang bermaklumat.
“Portal ini dibangunkan untuk mempertingkatkan kemahiran warga KPT sebagai pekerja yang bermaklumat sekaligus menyemarakkan literasi membaca dalam kalangan warga KPT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi di bangunan kementerian KPT di Putrajaya, hari ini.
Zambry berkata, dalam usaha menyampaikan perkhidmatan pendidikan tinggi kepada rakyat menerusi kementeriannya, warga KPT tidak harus meminggirkan kepentingan ilmu dalam kehidupan seharian.
“Warga KPT, dari masa ke semasa perlukan maklumat serta penyelidikan baharu mengenai teras serta dasar Pendidikan Tinggi serta kajian pendidikan terkini.
“Dengan adanya portal ini, capaian maklumat dapat diakses dengan lebih mudah dan cepat.
“Inisiatif ini sejajar dengan Dekad Membaca Kebangsaan yang bertujuan untuk membentuk masyarakat berilmu bertaraf dunia,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut berharap Pusat Sumber dapat mempelbagaikan bahan bacaan dan memperbanyakkan bahan bacaan ilmiah berkualiti khususnya berkaitan pendidikan tinggi.