Walaupun peluang untuk melayakkan diri ke fasa kalah mati Piala Asia di Qatar ‘terbantut’, namun ia tidak mematahkan semangat pemain bola sepak berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools untuk membawa Harimau Malaya ke Piala Dunia 2026.
Menurut laporan Buletin TV3, Cools meluahkan rasa teruja apabila Harimau Malaya kini berada di tangga teratas kelayakan Piala Dunia Kumpulan D.
Dion Cools
Artikel lain: Lidah Faisal Halim Kelu, Disoal Anak Mengenai Kekalahan Harimau Malaya
Mana tidaknya, pada November tahun lalu, Harimau Malaya berjaya ini mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan. Oman dan Kyrgyzstan pula terikat tiga mata, manakala Taiwan tanpa mata.
“Ketinggalan 1-3, Ya tuhan, apa sudah jadi, di stadium sendiri dan di hadapan penyokong sendiri?
“Itulah perlawanan paling ‘gila’ yang pernah saya hadapi dan safa fikir kenangan paling indah dalam kerjaya saya dan akan diceritakan kepada anak-anak”, kata Cools yang turut menjaringkan dua gol termasuk gol penyamaan 3-3 pada perlawanan itu.
Bukan itu sahaja, Cools turut mendedahkan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon meletakkan sasaran dengan meraih sekurang-kurangnya 12 mata untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
“Kami sudah separuh jalan, jadi itu sesuatu permulaan yang menakjubkan, pasukan dalam ‘mood’ yang baik, pasukan telah mencapai sesuatu yang baik,” ujar Cools yang tampil kali pertama bersama Harimau Malaya pada 2021.
Dalam pada itu, pemain yang berusia 27 tahun itu berkongsi pengalamannya dimana pernah dipanggil untuk menyertai pasukan remaja Belgium namun, akui tidak mudah untuk menembusi skuad senior negara tersebut.
“Sudah tentu perbezaan kedudukan antara Belgium dan Malaysia boleh dilihat sendiri, yang mana Belgium pernah menjadi pasukan nombor satu dunia.
“Namun rasa cinta terhadap bola sepak Malaysia, peminat dan negara sebenarnya lebih mendalam,” katanya yang sekali lagi akan menjadi tonggak Harimau Malaya pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Doha menentang Korea Selatan, Khamis ini.
Sumber: Buletin TV3