Sebuah kilang beras di Kota Setar, Kedah, didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Yan pada Isnin selepas mengaku bersalah menjual 250kg beras hancur kepada pihak tidak berlesen dan menyorok bekalan tidak direkodkan.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, dakwaan itu dijatuhkan susulan serbuan dilakukan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kedah pada 7 Oktober lalu.
Kilang beras didenda
Foto hiasan: Berita Harian
“Pemeriksaan mendapati kilang itu telah menjual sebanyak 5 guni berisi beras gred hancur berjumlah 250 kilogram kepada pihak yang tidak memiliki lesen pada 24 September 2023.
“Selain itu, terdapat perselisihan kuantiti beras hancur dalam milikan berbanding penyata rekod stok yang diberikan oleh pengilang.
“Pihak KPB Negeri Kedah telah bertindak merampas 10,593.70 kilogram beras hancur berkenaan,” kata kenyataan tersebut hari ini.
KPKM berkata, kilang itu telah melakukan dua kesalahan yang pertama di bawah Peraturan 9(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 [PU(A) 624], iaitu tidak boleh menjual beras kepada mana-mana orang kecuali kepada pemegang Lesen Borong yang bukannya pengilang beras, pemegang lesen runcit, mana-mana orang bagi maksud pengilangan atau katering dan mana-mana pembekal beras di bawah kontrak.
Artikel lain: KPKM Nafi Wujud Kartel Kawal Harga Padi, Beras Dan Benih Padi
Foto hiasan: agricom.id
Kesalahan kedua pula terdapat perselisihan kuantiti beras dengan maklumat yang diberikan melalui Penyata Deklarasi Stok Beras Dalam Milik/Kawalan di bawah Seksyen 7(1)(a).
“Siasatan mendapati telah berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 8(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta yang sama.
“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000.00 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000.00 bagi pertuduhan kedua ke atas Kilang Beras Seng Wor Sdn. Bhd. dan hasil rampasan bernilai RM25,000.00 dijadikan hasil kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, KPKM memberi peringatan kepada pengilang padi, pemborong dan peruncit beras selaku pemegang lesen supaya mematuhi peruntukan perundangan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.