Beberapa pemain import berada dalam radar Perak FC dalam usaha memperkuat pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC Bobie Farid Shamsudin mengesahkan skuad The Bos Gaurus (TBG) sudah mengenal pasti pemain import baharu untuk diserap dalam pasukan kendalian Yusri Che Lah itu.
Perak FC
Artikel lain: JDT Perkenal Pemain Termahal Dalam Liga M Dengan Nilai RM15.2 Juta
“Apa yang saya boleh sahkan, ini (mendapatkan khidmat pemain import baharu) sesuatu yang sedang kami rancangkan kerana kita perlu perkuat pasukan dan perbaiki beberapa bahagian yang lompong.
“Kita sekarang ada lima pemain import dan ada penyokong mempersoal prestasi Seo Seonung yang merosot permainannya selepas mengalami kecederaan hidung, begitu juga dengan Luka Milunovic, jadi saya boleh katakan akan ada pemain import baharu untuk musim baharu,” katanya ketika sesi Sembang Gaurus: Tahun Baharu 2024 yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook TBG TV malam tadi.
Bobie Farid berkata khidmat pemain import baharu adalah bagi memperkasakan jentera serangan dan tengah yang dilihat perlu untuk memastikan Perak FC menjadi antara pencabar dalam kempen Liga Super 2024/2025.
“Masih terlalu awal untuk kita umum siapa pemain bakal kita ambil kerana kita mempunyai masa panjang hingga Mei, jadi kita tunggulah masa sesuai. Bukan itu sahaja, untuk musim ini juga kita akan bawa masuk dua penjaga gol baharu,” katanya.
Sementara itu, Bobie Farid menepis khabar angin kononnya Perak FC akan membawa kembali beberapa bekas pemain yang pernah membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia 2018.
“Kita ambil kira dari semua segi faktor umur, konsistensi dan paling penting faktor gaji yang menjadi ukuran. Memang menarik jika mereka kembali, namun apabila dinilai semula kita perlu realistik mengikut kemampuan kewangan kita… itu paling penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan menyenaraikan 25 pemain sahaja untuk pasukan utama dan bukannya 38 pemain seperti musim lepas.
“Musim 2024/2025, kita tetapkan hanya akan ada 24 atau 25 pemain sahaja bagi Liga Super dan bawah-23 (B-23) yang bersaing Piala MFL.
“Bagi saingan Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18), kita kecilkan kepada 22 pemain sahaja disebabkan kita perlu jaga bajet kewangan kita untuk pastikan mereka ini layak bermain,” katanya.
Sumber: Bernama