Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali memberitahu tiada larangan dikenakan kepada warga asing untuk beli minyak masak bersubsidi di kedai runcit.
Menurut laporan Utusan Malaysia, warga asing turut tertakluk seperti rakyat Malaysia dengan mengenakan had tiga paket untuk setiap pembelian sahaja.
Tiada larangan warga asing beli minyak masak bersubsidi
Artikel lain: KPDN Melaka Serbu Restoran Mamak, Sorok Lebih 500kg Gula & Minyak Masak Peket
“Setakat ini di peringkat runcit memang tidak ada larangan, cuma di pasar raya kita sudah sebut untuk setiap pembelian itu kita kawal had pembelian tiga paket. Tetapi untuk larangan kepada warga asing itu setakat ini tidak dibuat. Ada cadangan dan syor tertentu tetapi apa mekanisme untuk kita pantau, kita larang.
“Larang boleh tetapi, peruncit itu mesti bersedia untuk melaksanakan. Kalau orang nampak ok, ambil gambar dan sebagainya. Tetapi apa mekanisme kalau kita buat sistem hanya untuk minyak masak paket,” katanya.
Ujarnya lagi, kerajaan tidak merancang untuk membuat pembelian secara sistem khusus selepas mendapati kos pelaksanaanya tidak efektif sehingga menyebabkan peruncit perlu menggunakan sistem itu.
Terdahulu, tular di laman sosial apabila segelintir warga asing membeli minyak masak paket sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Mana tidaknya, ramai mendakwa warga asing tidak sepatutnya mendapat kemudahan subsidi tersebut dan berpendapat hanya golongan sasar menikmati manfaat berkenaan.
Sumber: Utusan Malaysia (Mohamad Athir bin Ismail)