Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkemungkinan bakal mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan program imunasasi dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat, terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.
Ia berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini, lapor Malaysiakini.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly berkata, stok bekalan vaksin sedia ada di negara ini masih mencukupi dan belum mencapai tarikh luput, selain ia berkesan melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu Covid-19 untuk dos penggalak ketiga.
“Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluar arahan untuk (ambil) dos penggalak, terutama mereka daripada kumpulan rentan.
“Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.
“Vaksin yang kita ada masih boleh melindungi orang ramai daripada sebarang varian baharu Covid-19 di luar sana,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan KKM pagi tadi di Putrajaya.
Menurutnya, stok semasa vaksin Covid-19 Malaysia masih berdasarkan formulasi yang dilancarkan pada hari-hari awal wabak itu.
Tahun lalu formulasi vaksin Covid-19 telah dikemas kini kepada formulasi bivalen yang menyasarkan varian Omicron serta strain asal
Rumusan tahun ini dikemas kini dengan formulasi monovalen berdasarkan varian XBB.1.5, yang merupakan subvarian Omicron lazim pada masa itu. Kedua-dua versi yang dikemas kini itu belum lagi dibawa ke Malaysia.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak dan mengamalkan kuarantin kendiri selama lima hari jika didapati positif Covid-19.
Artikel lain: Kes COVID-19 Negara Catat Peningkatan 57.3% Pada ME47/2023 – KKM
“Ramai yang akan bercuti tetapi jangan jadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan SOP,” katanya.
Semalam, kes Covid-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Disember lalu berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk pesakit yang disyaki Covid-19 ke fasiliti kesihatan meningkat 1.4 peratus berbanding minggu sebelumnya serta pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat 1.4 peratus.
Sumber: Malaysiakini