Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memfokuskan tiga teras utama dalam dasar institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu golongan mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir.
Zambry komited teruskan agenda KPT
Zambry berkata, ketiga-tiga teras itu penting dalam memastikan dasar pendidikan tinggi ke peringkat lebih baik seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Ada tiga kelompok teras utama, pertama mahasiswa, kedua ialah tenaga pengajar dan ketiga ialah pentadbir. Jadi ada tiga komponen mustahak yang perlu kita lihat.
“Kita berada dalam konteks kerajaan yang sama, Mohamed Khaled sudah meletakkan landasan yang baik sepanjang setahun sebagai menteri sebelum ini dan tentunya saya akan meneruskan agenda yang digagaskan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri sesi ‘clock in’ bersama timbalannya Datuk Mustapha Sakmud di lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya hari ini.
Artikel lain: Mustapha Sakmud Umum 10 Fokus Utama Di KPT
Sementara itu, Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, beliau komited meneruskan agenda KPT bersama kementerian selepas diberi mandat oleh Perdana Menteri.
“Saya akan melakukan yang terbaik bersama pasukan dalam melaksanakan misi besar pendidikan tinggi negara yang sudah disusun gariskan, sebagai pelanjut, penerus kepada dasar yang sudah digagaskan.
“Saya akan laksanakan bersama timbalan menteri dan pasukan untuk membawa Malaysia berada di persada antarabangsa dengan dasar pendidikan yang baik, memenuhi tuntutan semasa dan pada masa sama menyeimbangkan pembangunan material, moral dan kerohanian,” ujarnya.
Terdahulu, beliau dilantik mengetuai portfolio KPT daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilantik menerajui Kementerian Pertahanan.
Pada Selasa, Anwar mengumumkan rombakan kabinet di bawah Kerajaan MADANI dengan menyaksikan beberapa pertukaran portfolio menteri dan timbalan menteri.