Kedua-dua finalis Piala Malaysia 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) tidak berpuas hati dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Mereka yang bakal beraksi pada malam esok di SNBJ kecewa dengan keadaan rumput jenis Zeon Zoysia itu tidak berada pada tahap terbaik.
Memetik laporan BERNAMA daripada Malaysiakini, ketua jurulatih JDT Esteban Solari menggesa semua pihak bekerjasama untuk memelihara hadiah pemberian pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pun begitu, jurulatih kelahiran Argentina berkata keadaan padang SNBJ tidak akan menjejaskan pasukan JDT untuk memberikan aksi cemerlang dan mencipta kejayaan membanggakan.
“Tahun lepas rumput jenis cowgrass dan tahun ini kita mempunyai rumput yang hebat, malangnya tidak berada dalam keadaan terbaik …namun ia bukan keutamaan kita, kita sekarang mahu fokus kepada bermain dengan baik dan menang perlawanan akhir.
“Tidak kira apa pun keadaan padang, kita akan teruskan bermain dan menjadi pasukan sentiasa memberikan yang terbaik kepada bos (Tunku Ismail) dan peminat,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir di Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama, Kapten JDT Jordi Amat yang teruja untuk beraksi dalam final pertamanya berharap keadaan padang akan lebih baik esok.
“Saya harap keadaan padang akan lebih baik, sejujurnya, saya tidak begitu gembira…saya boleh nampak di tengah-tengah padang, rumpat tidak begitu baik, kita akan lihat esok ketika sesi memanaskan badan, akan lihat jika kita boleh bermain, jika tidak kita cuba elakkan bermain di kawasan itu,” kata pemain pertahanan itu.
Sementara itu, Ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner juga tidak gembira dengan keadaan padang.
Meskipun keadaan padang SNBJ tidak sempurna, namun mereka masih boleh menerimanya untuk beraksi menentang JDT pada malam esok.
“Saya sudah lihat padang, dan lihat melalui media beberapa hari lepas, tidak sempurna tapi okey. Esok dua pasukan akan beraksi dan kita akan bergelut bersama untuk mencapai sasaran kita,” kata jurulatih Crotia-Jerman itu.
Artikel lain: Selepas Konsert Coldplay, TMJ Kongsi Keadaan Padang SNBJ
Sebelum ini, tular keadaan terkini padang Stadium Nasional sehingga mendapat perhatian Tunku Ismail yang turut memuat naik keadaan padang yang kelihatan terjejas di laman sosial milik Tunku Ismail.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu Tunku Ismail memuat naik keadaan padang di Stadium Nasional dengan kali pertamanya dua hari selepas berlangsung konsert artis luar negara pada 22 Nov lepas.
Sebagai rekod, Tunku Ismail menghadiahkan rumput Zeon Zoysia kepada Stadium Nasional yang ditanam tahun ini.
Sumber: Malaysiakini (BERNAMA)