Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Hormatilah Ulama Sebagai Pewaris Dakwah Nabi SAW

Menurut Ibn Khaldun dalam karya agungnya, Muqaddimah, perkembangan peradaban manusia sentiasa mengalami kitaran. Ia bermula dari peringkat awal atau permulaan, diikuti peringkat perkembangan dan kecemerlangan, dan diakhiri dengan fasa kelemahan dan kejatuhan. Pada abad ke IV hijrah telah menyaksikan para ulama dalam dunia Sunni mengesyorkan agar pintu ijtihad ditutup kerana berlaku fitnah apabila golongan yang tidak berkelayakan cuba untuk memberi pandangan hukum dan bertindak umpama orang alim. Ia juga bagi mengelak kerosakan yang lebih besar dan ketidak harmonian dalam masyarakat. Senario ini juga timbul ekoran berlakunya perpecahan semakin besar dalam kalangan masyarakat Islam akibat kefanatikan dan kejahilan.

Hormatilah ulama

Situasi yang sama kini berulang mutakhir ini apabila timbul senario yang membimbangkan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Agama dipermainkan dan ulama dihina kerana mempunyai pandangan yang tidak selari dengan selera mereka. Golongan jahil, fasiq dan munafiq berleluasa menghina Nabi dan ajaran agama Islam serta para ulama. Ketika ulama berdiam diri, mereka digelar dengan syaitan bisu, manakala ketika ulama memberi pandangan, mereka digelar ulama su’ atau jahat. Dalam situasi yang serba tidak kena, ulama yang menyuarakan pandangan dikecam, dan ulama yang berdiam diri turut dikecam. Bagaikan lidah tidak bertulang, jari jemari golongan ini sama laju dengan lidah untuk mengecam pandangan dan menghina ulama di media sosial.

Pada dasarnya, dalam menentukan pandangan tentang hukum agama, seseorang perlu mempunyai kelayakan yang sewajarnya, bukan sekadar mengetahui melalui apa yang dibaca melalui internet dan media sosial. Seorang ulama akan mengeluarkan hukum berpandukan kepada garis panduan ijtihad yang sistematik. Ia merangkumi rujukan terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah, ijmak, qiyas dan sumber sekunder di samping mengambilkira kemaslahatan ramai dan juga realiti serta budaya setempat. Ia bukanlah pertimbangan berasaskan logik akal atau dorongan hawa nafsu semata-mata. Para ulama menjaga amanah ilmu yang diwariskan dari zaman Nabi SAW. Malahan para ulama tidak boleh berdiam diri dalam perkara mungkar walaupun ia dibenci oleh ramai orang. Ini kerana perkara hak dan batil selamanya tidak akan bersatu.

Walau bagaimanapun, setiap orang mempunyai ruang untuk tidak bersetuju dengan pandangan ulama kerana perselisihan pandangan dalam kalangan ulama adalah rahmat kepada umat Islam. Namun begitu, jangan terlalu fanatik hingga memaki hamun ulama yang mempunyai pandangan yang berbeza. Tidak perlu digelar ulama upahan, ulama suruhan, ulama mata duitan dan sebagainya. Dengan itu, tidak perlu menghina ulama khususnya mufti yang dilantik oleh ulil amri. Ini kerana mereka yang dilantik adalah dalam kalangan yang berkelayakan. Ingatlah, pegangan orang awam adalah pandangan mufti. Jika orang Islam menunjukkan contoh bagaimana hinanya kedudukan orang alim kepada orang luar Islam, maka tiada lagi kehormatan buat para ulama.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Jelasnya, sikap yang menghina dan menjatuhkan ulama dan menolak pandangan mereka ini berkait rapat dengan tradisi kajian sarjana orientalis. Mereka mengkaji Islam, pandangan ulama, karya ulama dan budaya masyarakat Islam untuk mencari keburukan dan kelemahan, bukannya kekuatan dan kebaikan. Justeru ramai umat Islam terpengaruh dengan pendekatan tradisi orientalis yang memburukkan ulama. Mereka gagal membezakan antara ulama dengan musuh sehingga tidak rasa bersalah melakukan pelecehan dan penghinaan. Sikap memburukkan ulama ini telah meresap ke dalam masyarakat Islam dan membentuk budaya berfikir yang rosak.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: Bukan termasuk umatku, siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang alim (HR Ahmad). Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa menjadi kewajipan setiap muslim untuk menghormati dan memuliakan para ulama, tanpa berlebih-lebihan atau merendahkan mereka. Perbuatan mengolok-olokkan ulama, menghina atau menggelar mereka secara terang-terangan bertentangan dengan perintah untuk memuliakan mereka.

Dalam kalangan masyarakat awam di Malaysia, terdapat pelbagai kelompok dalam berinteraksi dengan ulama dan agama. Di antara mereka ada kelompok yang menjauhi ulama dan agama, dan ingin melepaskan diri dari ikatan agama atas nama kebebasan. Kelompok ini cenderung untuk menghina ulama, Nabi dan ajaran Islam tanpa rasa dosa dan salah. Kedua adalah kelompok yang mendekati agama dan ulama, tetapi ada yang ekstrem menolak ulama yang dilantik oleh kerajaan. Mereka juga cenderung untuk melabel dan menghina ulama yang tidak seiring dengan pandangan kelompok mereka. Bagi mereka, ulama lantikan ini tidak amanah, takut hilang jawatan, bermata duitan dan boleh dicucuk hidung. Begitu hinanya ulama di mata mereka.

Pada masa kini, ada kalangan umat Islam yang mengalami beberapa gejala. Pertama gejala meloncat-loncat dalam corak berfikir. Ia juga berkait dengan istilah ‘whataboutism’, iaitu kesesatan cara berfikir dengan mengalihkan topik perbincangan awal dengan isu lainnya. Misalnya ketika mempertikaikan pandangan ulama tentang pengharaman vape, mereka mempersoalkan kenapa ulama tidak memberi komentar tentang isu poligami. Kedua, efek dunning-kruger, iaitu seseorang merasakan kemampuan ilmunya lebih hebat dari orang lain. Misalnya apabila ulama memberikan pandangan tentang suatu hukum, mereka merasakan diri lebih pandai. Contohnya ketika ulama menyatakan pandangan tentang penjarakan solat, mereka melabel ulama tidak mengikut sunnah Nabi SAW. Ketiga, gejala palatao yang merasakan diri serba tahu berbanding ulama. Misalnya ketika ulama memberikan pandangan tentang hukum, mereka juga memiliki koleksi hukum tersendiri. Keempat gejala ketaksuban terhadap guru dan menafikan kapasiti ulama lain. Perbezaan pandangan dalam kalangan ulama diteruskan oleh para pengikut hinggalah ke tahap saling caci maki dan menghina. Mereka sentiasa hidup dalam provokasi dan perbalahan kerana merasakan terpaling benar. Kelima, gejala belajar tanpa guru dan hanya merujuk kepada carian internet dan media sosial. Mereka merasakan punya kefahaman dan pandangan yang lebih tepat berbanding ulama.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Tegasnya, bahawa mulutmu harimaumu, maka kurunglah ia sebaiknya. Justeru, setiap perkataan yang lahir dari lidah, setiap tulisan yang terhasil dari jari jemari dan setiap perbuatan yang dilakukan ada perkiraan baik dan buruknya di sisi Allah. Sesungguhnya pertarungan ideologi akan sentiasa berterusan, maka didiklah pengikut masing-masing agar berakhlak selari dengan ajaran Islam dan teladan Baginda SAW.

Konklusinya, sebagai orang awam atau agamawan, hormatilah pandangan ulama yang berautoriti kerana tiap pandangan yang diberikan adalah berdasarkan kepada pertimbangan ilmu. Jangan terikut-ikut dengan gejala menghina ulama dan agama. Tuntutlah ilmu agama sehingga kita mampu faham bahawa perbezaan ulama dalam perkara khilafiyyah adalah suatu rahmat kepada umat. Di samping itu jagalah adab kerana sopan santun dan budi pekerti merupakan kearifan yang menjadi
darah daging dengan masyarakat Melayu.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: [email protected]

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

DSAT Group bakal mengambil tindakan undang-undang saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor. Menerusi satu hantaran di Facebook Pengerusi Eksekutif...

Lokal

Tular di media sosial luahan seorang kakitangan badan penyiaran milik kerajaan, RTM yang mendakwa dirinya bersama beberapa rakan sekerja lain sudah beberapa bulan tidak...

Nasional

Berhubung cadangan bagi menghentikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang 30 peratus, pihak...

Spotlight

Kumpulan K-Pop terkenal, 2NE1 telah berjaya terbang ke Manila, Filipina, pada Sabtu dan Ahad lalu bagi konsert jelajah Asia yang mendapat sambutan luar biasa...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd