Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara di Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerusi laman Facebooknya yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang menyokong RUU tersebut.
RUU Kawalan Produk Merokok diluluskan
“Alhamdulillah, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam telah diluluskan di Dewan Rakyat sebentar tadi.
“Terima kasih kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang menyokong agar RUU ini terlaksana sekaligus menutup kelompangan undang-undang yang sedang berlaku,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, beliau menitipkan kata-kata penghargaan buat tulang belakang pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia yang tidak pernah berputus asa bagi memastikan RUU ini dilulskan.
“Saya juga mengambil kesempatan untuk ucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada kumpulan dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa komited dan telah bekerja selama hampir 13 tahun dalam memastikan RUU yang bersejarah ini dapat diluluskan,” katanya lagi.
Sekadar info, RUU itu mengandungi Fasal 1 hingga 54 yang memperuntukkan hal berhubung pendaftaran, pengiklanan, kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau.
Ia turut memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).
Sumber: Facebook @Dr Zaliha Mustafa