Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, dilaporkan sedang menjalani rawatan akibat mengalami kemurungan melampau.
Memetik laporan Harian Metro, Abdul Wahab yang dijadualkan memberi keterangan kepada pihak polis, semalam turut didakwa gagal dihubungi
Peguamnya, Faisal Rahman berkata, ia adalah salah faham dan pihaknya sudah menjadualkan semula pertemuan dengan polis bagi memberi keterangan.
“Saya berikan komitmen kepada pihak polis (bahawa) dalam minggu ini Wahab akan berikan keterangan.
“Wahab mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan, tarikh ditetapkan semalam (Ahad), tetapi atas faktor kesihatan, beliau tidak dapat (berbuat demikian),” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mengulas lanjut, Faisal berkata, beliau yang mewakili anak guamnya sentiasa berhubung dengan pihak polis.
Terdahulu, media melaporkan polis masih mengesan Abdul Wahab bagi membantu siasatan berhubung kes rakaman video perbualan lucah kononnya membabitkan dirinya dan bekas Ketua Pengarah J-Kom Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Setakat ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyatakan Abdul Wahab masih belum tampil bagi memberikan keterangan kepada polis.
Katanya, pelbagai usaha dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan Abdul Wahab.
Artikel lain: Agus Enggan Sumpah Laknat, Penafian Sudah Cukup Pertahan Maruah
Artikel lain: Agus Sudah Beri Keterangan, Dedah Identiti Mr. H Kepada Polis
Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.
Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.
Sumber: Harian Metro (Hafidzul Hilmi Mohd Noor)