Seorang lelaki parah ditetak dua lelaki bertopeng ketika sedang berbual-bual dengan rakannya di sebuah kedai nasi lemak di Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh.
Dilibas & ditetak ketika berbual-bual dengan rakan
Memetik laporan dari Kosmo! kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 malam 7 November itu berlaku begitu cepat apabila salah seorang suspek telah masuk ke dalam premis sebelum melibas pedang ke arah mangsa.
Kredit foto: Facebook
Indentiti lelaki bertopeng masih belum dikenalpasti
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, mangsa yang sedang bersembang dengan rakannya telah ditetak beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan juga tangan.
Walau bagaimanapun, suspek telah melarikan diri selepas menetak mangsa dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu seorang lagi lelaki bertopeng.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di sini untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya.
Motif 2 lelaki bertopeng masih dalam siasatan
Difahamkan, identiti suspek dan juga motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sedang giat dijalankan.
Kredit foto: Facebook
Kejadian sangat pantas
Dalam pada itu, pemilik kedai nasi lemak dikenali sebagai Tuan Mohamad Fitri Tuan Rozimi, 27, memaklumkan yang kejadian berlaku sangat pantas dan tiada ada sesiapa yang berani menghalang tindakan lelaki bertopeng itu.
Ujarnya, mangsa ada mempertahankan diri menggunakan kerusi namun suspek tetap bertindak menetak walaupun ketika itu mangsa sudahpun rebah di kawasan premis.
“Ini merupakan kejadian paling ngeri sejak saya menjalankan perniagaan nasi lemak di sini. Saya tidak dapat membantu mangsa kerana khuatir ditetak suspek.
“Saya menutup perniagaan buat sementara waktu kerana masih trauma dengan kejadian itu. Saya turut dikejar suspek kerana menegur perbuatan mereka ketika kejadian berlaku,” ujarnya.
Kredit foto: Kosmo!
Sumber: Kosmo! (Torek Sulong), Facebook Tanpa Nama