Seorang peniaga nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan merotan anak tirinya sehingga menyebabkan kecederaan.
Foto: Free Malaysia Today
Memetik laporan Berita Harian, kanak-kanak berusia enam tahun itu dirotan bapa tirinya kerana gagal menjawab soalan Matematik.
Lelaki berusia 38 tahun itu dihadapkan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengikut akta tersebut, lelaki itu akan dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Wangsa Maju pada jam 6 pagi 23 Jun lalu.
Lelaki tersebut tersebut kemudiannya mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan dikenakakan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.
Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh untuk berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama lima tahun.
Rotan Anak Gagal Jawab Matematik
Foto hiasan: Kosmo Online
Dia juga diarahkan untuk menjalani khidmat kaunseling keibubapaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada masa yang sama, lelaki berkenaan juga diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam dan perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Mengikut fakta kes, pada 16 Jun lalu Bahagian Pasukan Sekolah Klinik Kesihatan Kuala Lumpur datang ke sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan pemberian imunisasi vaksin untuk murid Tahun Satu.
Jururawat bertugas dan pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan keatas mangsa menemui kesan lebam pada tangan.
Artikel lain: Nekad Lari Rumah, Budak 6 Tahun ‘Mangsa Dera’ Mungkin Cacat Fizikal -“Kakinya Bengkok”
Setelah melakukan pemeriksaan terperinci, mereka mendapati terdapat kesan parut berbirat pada pergelangan tangan, belakang badan serta lebam di bahagian kaki kanak-kanak itu.
Semasa dirawat, doktor menyoal kanak-kanak itu mengenai kecederaannya dan mangsa memaklumkan dia selalu dirotan oleh bapanya sehingga meninggalkan kesan seperti itu.
Doktor tersebut kemudian menghubungi guru kelas dan mencadangkan pihak sekolah melaporkan perkara itu kepada JKM melalu Talian Kasih.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhammed Ayub memohon hukuman setimpal agar ibu bapa lain tidak melakukan perbuatan yang sama.
“Gelaran ayah bukan lesen untuk memukul sedemikian bagi tujuan mendisiplinkan mangsa hanya kerana kesalahan Matematik.
“Mangsa tidak sepatutnya dipukul seperti itu, dia memerlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah kandung dan ibunya bercerai,” katanya.
Manakala peguam tertuduh, Arik Zakri Abdul Kadir memohon hukuman rendah kerana anak guamannya menanggung keluarga dan isteri yang sedang hamil empat bulan disamping telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
Sumber: Berita Harian (Suraya Roslan)