Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz dipercayai bakal meneraju Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila ahli badan induk tersebut sebulat suara memilihnya bagi menggantikan Tan Sri Norza Zakaria.
Diumumkan Norza sendiri
Memetik laporan dari Utusan Malaysia, Norza akan mengumumkan perkara itu sendiri selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM bersidang di Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang berlangsung hari ini.
Pemilihan Tengku Zafrul dapat sokongan ahli majlis
Sekitar Ogos tempoh hari, Norza telah membuat pengumuman yang mengejutkan apabila bercadang mahu melepaskan jawatannya lebih awal iaitu sekitar hujung tahun ini.
“Saya harus menentukan kesinambungan dalam kepimpinan BAM, kita berhadapan dengan beberapa pemegang taruh yang penting antaranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan), para penaja dan lain lain lagi.
“Atas sebab itu, apa sahaja perubahan tidak perlu dilakukan secara drastik dan berhemah serta mendapat sokongan penuh Ahli Majlis.
“Di BAM, kita tidak pernah berdepan dengan krisis kepimpinan, dan kita teruskan tradisi itu, dan semua Ahli Majlis bersetuju dengan cadangan saya iaitu untuk memilih Tengku Zafrul,” jelas Norza.
Artikel lain: Jalani Sidek Tak Berminat Jawatan Presiden BAM – “Saya Selesa Ikut Misbun”
Namun begitu, pelantikan Tengku Zafrul hanya akan dimuktamatkan pada Mesyuarat Agung BAM yang dijangka berlangsung pada Disember nanti.
Jika tiada sebarang halangan, Tengku Zafrul akan memulakan tugas sebagai presiden BAM secara rasmi pada Januari 2024.
Sumber: Utusan Malaysia