Seramai 86 penduduk di Gunungkidul, Yogyakarta dilapor positif antraks selepas dipercayai makan daging lembu mati yang berpenyakit.
Apa yang lebih menyayat hati, menurut laporan CNN Indonesia, seorang mangsa yang tinggal di Semanu telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut.
Kejadian itu dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Pusat Perkhidmatan Gunungkidul, Dewi Irawati dimana mangsa berusia 73 tahun yang maut tersebut sebelum ini bertindak menyembelih dan memakan daging lembu miliknya yang mati kerana sakit.
“Mangsa yang maut setakat ini hanya seorang kerana antraks. Ia disahkan, kerana pemeriksaan yang dibuat mendapati daging yang dimakan memang positif antraks,” kata Dewi.
Hasil siasatan mendapati mangsa turut mengagihkan daging lembu tersebut kepada penduduk lain dan disebabkan itu, seramai 125 orang telah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berhampiran.
“Sebahagiannya positif, dalam 85 orang. Tetapi, majoritinya tidak menunjukkan sebarang gejala,” kata Dewi lagi.
Difahamkan, mangsa yang terlibat akan mengalamisimptom seperti cirit-birit, luka di kulit serta kesan bengkak kecil kemerahan-merahan pada bahagian tangan.
Gambar hiasan
Susulan kejadian ini, Pusat Perkhidmatan Kesihatan telah memberikan ubat antibiotik kepada pesakit-pesakit tersebut sebagai langkah awal untuk merawat.
Bagaimanapun, Dewi menjelaskan keadaan pesakit dilihat semakin baik dan kampung itu turut diletakkan sebagai zon merah penyakit tersebut yang berpunca daripada bakteria Bacillus anthracis.
Sumber: CNN Indonesia