Connect with us

Hi, what are you looking for?

Sosial

Ziarah Cikgu Ubah Nasib Pelajar, Kini Sarung Uniform Bomba

Kisah seorang pelajar yang pernah kerap tidak hadir ke sekolah akhirnya bertukar menjadi inspirasi apabila kini berjaya menjadi anggota bomba, hasil perubahan yang bermula daripada satu ziarah gurunya.

Menerusi hantaran di Facebook, guru berkenaan Mohd Syamri Abd Razak berkongsi perjalanan mengimbau kembali detik hampir setahun lalu apabila beliau bersama rakan pendidik menziarahi remaja lelaki dikenali sebagai Shahrul itu.

Menurutnya, ketika ziarah dilakukan, pelajar itu masih tidur walaupun waktu sudah menunjukkan pukul 10 pagi.

“Masih ingat kisah ini? Aku kejutkan murid ini di katil rumahnya, jam sepuluh pagi. Hampir setahun lalu, kami menziarahi seorang murid Tingkatan 5 yang kerap tidak hadir ke sekolah,” katanya pada Isnin.

Hasil perbualan ketika itu, guru tersebut mendapati ketidakhadiran Shahrul bukan berpunca daripada sikap malas, sebaliknya kerana tanggungjawab besar yang dipikul sebagai abang.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Rupanya, malam dia kerja di kolam ikan sampai lewat malam. Duit yang dia dapat, bukan untuk diri sendiri… tapi untuk adik dia, supaya adik ada wang saku ke sekolah.
“Kadang kita fikir anak tak hadir sekolah sebab malas, tapi ada cerita besar di sebaliknya. Ada pengorbanan yang tak semua mata nampak, ada beban yang terlalu berat untuk bahu sekecil itu,” tulisnya dalam hantaran tahun lalu.

Menurut Mohd Syamri, selepas ziarah berkenaan, Shahrul membuat keputusan untuk mengubah haluan hidupnya.

Perubahan itu akhirnya membuahkan hasil apabila pelajar tersebut yang difahamkan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya diterima sebagai anggota bomba.

“Alhamdulillah, anak ini telah diterima menjadi anggota bomba, dan kini ditempatkan di Balai Bomba Kampung Raja, Besut selepas menjalani latihan di Akademi Bomba Wilayah Timur Wakaf Tapai,” kongsinya.

Berkongsi sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, Mohd Syamri menyifatkan kisah itu sebagai bukti bahawa perubahan mampu membuka jalan kehidupan, walaupun bermula dalam keadaan yang serba kekurangan.

Tambah beliau, kejayaan tersebut juga menjadi peringatan kepada masyarakat agar tidak cepat menghukum pelajar yang dilihat bermasalah tanpa memahami latar belakang sebenar mereka.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Kisah ini bukan sekadar cerita, tetapi bukti bahawa perubahan itu membuka jalan kehidupan. Bukan semua anak bermula dengan mudah, tetapi yang sanggup berubah akan sampai ke tempat yang tidak disangka.
“Kadang kita fikir anak tak hadir sekolah sebab malas, tapi ada cerita besar di sebaliknya… ada pengorbanan yang tak semua mata nampak,” ujarnya.
“Kita tidak berjaya kerana kita sempurna, tetapi kerana kita memilih untuk berubah,” tambah Mohd Syamri.

Sumber: Facebook Mohd Syamri Abd Razak

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Dunia

Aktivis Rohingya, Noor Azizah memuat naik satu hantaran di Instagram sempena kempen #Black4Rohingya yang menyeru orang ramai memakai pakaian hitam sebagai tanda solidariti terhadap...

Dunia

Ratusan pelajar dan mahasiswa Indonesia mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara Jakarta pada Jumaat, sebagai tanda bantahan keras terhadap dasar perbelanjaan kerajaan Presiden Prabowo...

Spotlight

Pempengaruh media sosial, Bob T20, mencuri perhatian ramai selepas berkongsi kisah peribadinya mengenai hubungan dan kehidupan lampau menerusi satu sesi podcast baru-baru ini. Menurut...

Lokal

Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan ia tidak akan mengambil tindakan terburu-buru dalam menangani isu kebanjiran etnik Rohingya di beberapa kawasan di negeri itu, sebaliknya akan...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd