Polis Negeri Sembilan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Penyelaras Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Badrul Hisham Shaharim atau Chegubard yang mendakwa wujud pemberian sogokan kepada anggota polis bagi menyokong parti tertentu.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara telus sekiranya menerima laporan rasmi berkaitan dakwaan tersebut.
“Itu adalah tohmahan kepada pihak polis dan saya memantau perkara ini selepas kenyataan itu dibuat.
“Sekiranya ada laporan polis, kita akan menjalankan siasatan.
“Jika laporan ini berkaitan salah laku seperti dinyatakan, kita akan merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum ini, Chegubard didakwa mendakwa Pusat Media Perikatan Nasional (PN) menerima kunjungan sekumpulan anggota polis yang mendakwa mereka diberikan wang antara RM300 hingga RM500.
Artikel lain: Calon PRN Negeri Sembilan Digantung Tauliah Mengajar Agama Sepanjang Tempoh Kempen
Beliau turut mendakwa anggota polis terbabit diugut untuk menyerahkan nombor siri kertas undi mereka.
Mengulas lanjut, Alzafny menegaskan Polis Negeri Sembilan sentiasa menjalankan tugas secara profesional, terbuka, telus serta berintegriti sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.
Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)






































