Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) telah melancarkan sebuah platform digital dan jenama baharu, KAOTIM yang menjanjikan pengalaman lebih mesra pelanggan dan selamat, hari ini.
Takaful perkenal KAOTIM
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pelancaran KAOTIM itu jelas menunjukkan usaha strategik mereka mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful digital.
“KAOTIM memperkukuhkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan kepada generasi kini.
“Menerajui inisiatif digital, kami melangkah ke hadapan untuk menjadi peneraju digital dalam industri insurans dan takaful, dan memenuhi aspirasi jangka panjang ke arah pendigitalan industri perkhidmatan kewangan, gelombang digital dalam sektor insurans dan takaful yang sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan dinamisme untuk pertumbuhan ekonomi digital,” katanya.
Takaful tawar pelan pelindungan RM38 sebulan
Beliau berkata, platform KAOTIM itu menawarkan MediKad dan pelan perlindungan perubatan pada satu harga mampu milik rakyat Malaysia iaitu serendah RM38 sebulan. Ini bagi memenuhi keperluan perlindungan kumpulan umur yang berbeza.
Ujarnya lagi, pengenalan ini adalah langkah strategik Takaful dalam mengukuhkan perniagaan peruncitan selain menarik segmen pelanggan baru, sekali gus membolehkan transaksi dalam talian yang lebih lancar seiring dengan gaya hidup terkini.
“MediKad menyediakan kemasukan hospital tanpa tunai ke hospital panel di Malaysia dan tempoh kemasukan hospital tanpa had serta elaun tunai harian untuk kemasukan ke hospital kerajaan.
“(MediKad) ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur antara enam hingga 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun.
Pelanggan boleh memilih daripada tiga berbeza dengan pilihan rider, MediBooster, mengikut keperluan perlindungan mereka dan dilindungi serta-merta selepas melengkapkan empat langkah pendaftaran dalam talian dan soal selidik perubatan mudah, tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan,” ujarnya.
Menariknya, pelanggan boleh melanggan MediKad hanya secara atas talian melalui KAOTIM, pada bila-bila masa sahaja dan di mana mereka berada dengan beberapa klik sebelum membuat transaksi.
“Dengan kos transaksi platform digital yang lebih rendah, kami dapat menawarkan harga yang lebih baik dan pelan takaful yang lebih mudah untuk dilanggan di pasaran.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk membantu mengurangkan beban kos perubatan yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan menawarkan pelan perlindungan perubatan yang mampu milik,” kata Nor Azman.
Untuk makluman, KAOTIM dan MediKad diperkenalkan bersempena ulang tahun Takaful Malaysia ke-39 dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai institusi kewangan Islam terkemuka dan kekal relevan dalam industri insurans dan takaful.
Turut hadir bersama, Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Dato’ Mohammed Hussein; Pengerusi Takaful Malaysia Am (cabang Takaful Am bagi Takaful Malaysia Keluarga) Ismail Mahbob; Lembaga Pengarah Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am; Badan Penasihat Syariah; Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli dan Pengurusan Kanan Takaful Malaysia.