Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menurut laporan Buletin TV3, siasatan tersebut memfokuskan kepada beberapa pihak termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), serta ejen yang terbabit dalam urusan perpindahan tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Kes ini timbul susulan desakan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP) pada 18 Jun lalu yang membangkitkan persoalan mengenai proses pemindahan haiwan tersebut.

Foto: Janaan AI
Pertubuhan itu turut mendakwa wujud unsur bayaran berkaitan transaksi berkenaan yang tidak dimasukkan ke dalam akaun kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan nilai urusan yang dianggarkan sekitar RM53 juta.
“Susulan itu, SPRM turut menyiasat dakwaan tersebut bagi menentukan sama ada berlaku sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan berkenaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
SPRM turut menegaskan bahawa siasatan masih berada di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.
“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sumber: Buletin TV3








































