Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak sekeras-kerasnya tuduhan sebagai pengkhianat parti selepas namanya dikaitkan sebagai penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, tempoh hari.
Beliau berkata, keputusan memberikan surat akuan berkanun (SD) pada peringkat awal adalah kerana kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan pendirian parti.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi memaafkan sepuluh orang yang dikatakan telah mengkhianat.
“Pertamanya, saya berterima kasih kepada YB Presiden kerana memaafkan 10 orang yang dikatakan pengkhianat tetapi sehingga hari ini saya tidak tahu apa sebabnya dituduh sebagai pengkhianat.
“Saya cukup yakin bahawa apa yang telah pun berlaku tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianat perjuangan parti,”ujarnya.
Hishammudin yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata beliau turut senada dengan kenyataan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk seri Jalaluddin Alias bahawa keputusan awal menandatangani SD adalah selaras dengan naratif pada ketika itu.
Dalam pada itu, beliau juga bersedia sekiranya dikenakan tindakan oleh parti kerana beliau tidak berasa gementar.
“Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah. Tak ada benda yang saya perlu bimbang kerana kita konsisten sebelum ini di peringkat parti, usaha nak bersama-sama dengan PH (Pakatan Harapan) bercanggah dengan pendirian parti sendiri,”jelasnya.
Mana ada khianat
Sementara itu, beliau berkata SD yang dibuat itu bukanlah bermakna khianat kerana mereka tetap bersetuju dengan perintah Yang di-Pertuan Agong sewaktu menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Kita buat SD-SD berkenaan tetap bila parti sudah buat keputusan kita berkecuali.
“Pada suatu ketika, kita tarik SD balik dan selepas itu bila Yang di-Pertuan Agong titah kita bersetuju mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan kehendak parti, kita bersetuju. Jadi, di mana pengkhianatannya,”soalnya.
Dalam masa sama, Hishammudin berkata rakyat sudah mual dengan sikap ahli UMNO yang suka bertelagah dan menuduh antara satu sama lain.
Tegasnya, apa yang perlu dilakukan oleh setiap ahli politik adalah bergerak ke hadapan dan bersiap sedia dengan siri-siri pilihan raya akan datang.
Terdahulu, nama Hishammudin antara 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tersenarai memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.