Bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Razak mengumumkan bersara selepas kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak lagi disambung.
Susulan itu, Zaquan mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak negara setelah hampir dua dekad ‘berkeringat’ dalam Liga Malaysia.
Foto: Astro Awani
Memetik laporan Astro Awani, bintang bola sepak profesional berkata ia bukanlah pengakhiran yang diidamkannya memandangkan dia hanya diutuskan sekeping surat sebagai notis pemakluman kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak dilanjutkan.
“Pasukan Negeri Sembilan sebenarnya sudah berlatih hampir seminggu tetapi saya tidak dapat apa-apa makluman daripada pihak pengurusan sebelum ini.
“Apabila sudah di penghujung baru dapat surat, perancangan saya jadi terjejas. Kerana mana lagi pasukan saya mahu pergi, saya mahu cari?,” katanya.
Dalam pada itu Zaquan berkata, dia reda sekiranya rezeki yang tertulis buatnya hanya sampai disitu bersama dengan NSFC dan akan mendoakan yang terbaik buat skuad bola sepak itu.
Foto: Stadium Astro
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, bekas kapten skuad Jang itu tidak menolak untuk terlibat dalam bidang kejurulatihan kerana itulah perancangan asalnya.