Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaran kepada pemilik sektor swasta yang memperoleh keuntungan yang tinggi setiap tahun untuk tingkatkan kadar upah pekerja secara masuk akal.
Menurut laporan Astro Awani, sektor terbabit harus menyambut signal dari sektor kerajaan, yang sentiasa berusaha dalam menyiapkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam demi menjaga kebajikan pekerja.
Walaupun negara mengalami cabaran kewangan namun, kerajaan mampu menyediakan Bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak, dan RM1,000 untuk pesara kerajaan.
Tingkatkan kadar upah pekerja
Artikel lain: Harga Barang Naik, Sistem Gaji Perlu ‘Dirombak’
“Untuk sektor swasta, kajian dari Jabatan Statistik Negara (DOSM) menunjukkan ada peningkatan produktiviti, tetapi kadar upah itu sangat sederhana. Jadi (seolah-olah) tidak memberi satu galakan kepada golongan pekerja.
“Sebab itu, sementara saya beri RM2,000 kepada penjawat awam, RM1,000 kepada pesara, sebagai tanda penghargaan kepada perkhidmatan mereka, kajian persaraan harus disiapkan. Dalam pertengahan tahun depan kena siapkan, supaya ada pengumuman penting dalam belanjawan akan datang.
“Tetapi saya minta (kepada) sektor swasta, kerana ada (pekerja) yang mengadu, syarikat untung sehingga RM400 juta setahun, tapi upah tak meningkat.
“Saya harap signal diberikan oleh kerajaan untuk berikan pengiktirafan kepada penjawat awam turut disambut sektor swasta, yang catat keuntungan baik. Berilah sedikit tambahan yang munasabah,” katanya.
Sementara itu, beliau sempat mengingatkan kepada penjawat awam termasuk pengurusan tertinggi jabatan dan kementerian, untuk lebih proaktif dalam melakukan langkah penjimatan.
Sumber: Astro Awani (Firdaus Azil)