YouTuber dan pengkritik bola sepak tempatan, Azizurrahman Zakaria menegaskan dia tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan mana-mana pihak selepas menjadi mangsa serangan dua lelaki yang menyebabkan tulang rongga matanya retak.
Menurut laporan BH Online, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
“Saya sedang mengisi angin kereta apabila tiba-tiba datang dua lelaki yang menendang kepala dan memukul saya tanpa henti.
“Seorang lelaki kemudian datang cuba membantu,” katanya kepada BH Online.
Menurut Azizurrahman, salah seorang suspek sempat merakam video kejadian sambil menuduhnya mencuri sebelum kedua-duanya meninggalkan lokasi.
“Dia cakap ‘ini orang curi, ini orang curi’ dan saya tanya balik ‘curi apa?’, tetapi mereka terus beredar,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan serangan itu mempunyai kaitan dengan kandungan yang dihasilkannya mengenai bola sepak tempatan, Azizurrahman berkata, dia tidak dapat mengenal pasti sebarang motif dan tidak mengesyaki mana-mana individu.
“Saya tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan sesiapa, tidak berhutang dengan Ah Long, tidak mengganggu isteri orang atau mempunyai masalah samseng jalan raya.
“Laporan polis sudah dibuat, jadi saya serahkan kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” jelasnya yang dikenali sebagai Joe Zakaria.
Tambahnya, kecederaan yang dialami kini semakin pulih walaupun masih berdepan kesukaran untuk bercakap akibat rahang yang bengkak.
“Saya mengalami keretakan pada tulang rongga mata serta luka di kaki dan tangan. Alhamdulillah, keadaan semakin pulih,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam, Sabtu lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang mengisi angin tayar didatangi dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC sebelum dipukul beberapa kali dan kejadian itu turut dirakam.
Menurutnya, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain, manakala motif serangan masih disiasat.
Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang dipergiat dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Rakaman insiden berkenaan yang tular di media sosial memperlihatkan Azizurrahman ditumbuk dan diterajang berulang kali sehingga terduduk, sebelum beberapa orang awam tampil cuba meleraikan keadaan.
Dalam video itu, dia turut dilihat meminta bantuan manakala kedua-dua penyerang memakai topi keledar dan pelitup muka, sekali gus menyukarkan pengecaman identiti mereka.
Untuk rekod, Azizurrahman mengendalikan saluran YouTube Joe Zakaria yang memfokuskan kandungan mengenai jersi, kasut bola serta ulasan berkaitan bola sepak tempatan.
Sumber: BH Online (Nor Azizah Mokhtar)







































