Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 109 warga asing yang dipercayai menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) selepas dikesan bekerja tanpa kebenaran dalam satu operasi di sebuah bangunan komersial di Jalan Ampang, di sini, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan yang bermula jam 11.45 pagi itu dilaksanakan hasil aduan awam berhubung peningkatan kehadiran warga asing, khususnya dari China, di kawasan terbabit.
Menurutnya, operasi itu dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan selama tiga minggu membabitkan 58 pegawai imigresen yang menyerbu dua aras bangunan komersial berkenaan.
Katanya, seramai 120 individu diperiksa dalam operasi itu termasuk tujuh warga tempatan dan 113 warga asing terdiri daripada rakyat China, Bangladesh, Myanmar serta India.
“Semasa serbuan, warganegara asing terbabit sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di beberapa unit premis di dalam bangunan komersial berkenaan.
“Premis itu dipercayai sedang dipersiapkan untuk beroperasi sebagai kelab hiburan eksklusif yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis serta akses masuk yang dikawal rapi.
“Tindakan ini dipercayai sebagai langkah bagi menghadkan kemasukan orang awam dan mengelakkan kegiatan di dalamnya dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sebahagian besar warga asing terbabit dipercayai memasuki Malaysia menggunakan PLS, namun disyaki bekerja tanpa kebenaran sekali gus melanggar syarat pas tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan beberapa individu yang dipercayai tinggal melebihi tempoh dibenarkan selain gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah ketika pemeriksaan dilakukan.
“Seramai 109 warganegara asing terdiri daripada 78 lelaki warganegara China serta 31 lelaki warganegara Bangladesh, Myanmar dan India berumur 30 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai pengurus atau individu yang menguruskan kehadiran warga asing di premis berkenaan.
Artikel lain: Termasuk Etnik Rohingya, Lebih 60,600 Kelahiran Warga Asing Direkodkan Sejak Tahun 2000
Dalam masa sama, Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal melebihi tempoh pas atau menyalahgunakan kemudahan imigresen.
“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” tambahnya lagi.
Sumber: Harian Metro (Suharmin Yusuf)







































