Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menanam semula 100 pokok baharu bagi setiap pokok yang terpaksa ditebang.
Menerusi satu kenyataan, ahli politik itu melalui hantaran di akaun X berkata, pihaknya sudah memberikan arahan berkenaan kepada Datuk Bandar, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh selepas diarah menebang pokok yang berisiko tinggi.
Foto: FB Anwar Ibrahim
“Saya telah memberi arahan kepada Dato Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula,” katanya hari ini.
Hantaran itu dibuat Anwar selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bertindak mengarahkan DBKL supaya segera mengambil tindakan untuk menebang pokok yang dikatakan mempunyai risiko tinggi terhadap keselamatan rakyat.
Terdahulu, menerusi satu laporan Astro Awani, Dr Zaliha dilaporkan telah mengarahkan DBKL untuk segera mengambil tindakan menebang pokok-pokok berisiko tinggi susulan berlakunya insiden terbaharu pokok tumbang di ibu negara baru-baru ini.
Saya telah memberi arahan kepada Dato Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula. https://t.co/YgWrItNHXx
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) May 15, 2024
Beliau juga mengarahkan DBKL supaya menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi.
Untuk makluman, insiden pokok tumbang pada 7 Mei lepas akibat hujan lebat dan angin kencang telah meragut nyawa seorang lelaki selain menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail.
Malah, berlaku satu lagi insiden pokok tumbang hampir terkena kenderaan yang membawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank di ibu negara pada Isnin.