Perancis mencipta sejarah sebagai negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang melarang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun daripada menggunakan platform media sosial selepas rang undang-undang (RUU) berkaitan diluluskan Parlimen.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Le Monde, RUU berkenaan mendapat sokongan besar daripada kedua-dua dewan Parlimen dengan 243 undi menyokong berbanding dua menentang di Senat.
Sementara itu, Dewan Rendah Parlimen turut meluluskan undang-undang tersebut dengan 279 undi menyokong dan 81 menentang.
Menteri Hal Ehwal Digital Perancis, Anne Le Henanff berkata langkah itu menjadikan negara berkenaan peneraju dalam usaha melindungi golongan kanak-kanak daripada risiko dunia digital.
“Perancis menerajui usaha di Eropah dengan menjadi negara pertama menetapkan had umur minimum digital bagi melindungi kanak-kanak dengan lebih baik ketika berada dalam talian,” katanya kepada anggota Senat sebelum pengundian, menurut laporan itu.
Undang-undang berkenaan dijangka mula berkuat kuasa pada awal sesi persekolahan September bagi pendaftaran akaun media sosial baharu, manakala pelaksanaannya terhadap akaun sedia ada akan bermula pada awal Januari.
Selain mengehadkan akses media sosial kepada pengguna bawah 15 tahun, peraturan baharu itu turut memperluaskan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah menengah.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha kerajaan Perancis menangani kebimbangan terhadap kesan penggunaan media sosial terhadap perkembangan, keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dalam talian.
Sumber: CNN
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































