Pulau Pinang terima 108,029 pelancong China melalui penerbangan antarabangsa dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 222.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu seramai 33,474 orang.
Pulau Pinang terima 108,029 pelancong China tahun ini
Menurutnya, peningkatan ketara itu adalah hasil daripada 11 laluan bandar-bandar di China yang mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang.
Bagaimanapun, menurutnya jumlah tersebut mungkin lebih tinggi jika dikira mereka yang transit di Kuala Lumpur atau masuk ke Pulau Pinang melalui pengangkutan darat.
“China kekal sebagai pasaran utama untuk sektor pelancongan Pulau Pinang, secara konsisten berada dalam senarai tiga negara teratas yang menyumbang pelancong antarabangsa pada tahun ini.
“Pada masa ini, penerbangan terus menghubungkan Pulau Pinang dengan bandar-bandar utama China seperti Xiamen, Guangzhou, Shenzhen, Hong Kong, Shanghai dan Chongqing.
“Setiap laluan ini membuka peluang untuk kerjasama dan pertukaran budaya, sambil memudahkan pelancong meneroka tarikan-tarikan menarik di Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, penerbangan terus ini juga menonjolkan pertumbuhan luar biasa dalam rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang.
“Dari segi kekerapan penerbangan terus, Pulau Pinang mencatatkan 61 penerbangan mingguan dari bandar-bandar China pada November tahun ini. Peningkatan yang ketara berbanding 17 penerbangan mingguan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Ia mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 258.82 peratus. Semalam (Isnin), satu lagi syarikat penerbangan antarabangsa dari China iaitu Loong Air telah melancarkan penerbangan terus dari Xi’an ke Pulau Pinang,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan pertambahan itu, Pulau Pinang kini mempunyai sambungan terus ke 20 bandar antarabangsa melalui 35 laluan, antaranya Dubai, Doha Singapura, Bangkok, Jakarta dan banyak lagi.
Artikel lain: Syarikat Penerbangan China, Loong Air Lancar Laluan Pertama Xi’an-Penang Hari Ini
“Penerbangan terus ini juga menonjolkan pertumbuhan luar biasa dalam rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga sentiasa mengutamakan usaha memperkukuh hubungan dengan China, sama ada melalui kerjasama ekonomi, pertukaran budaya atau pengembangan rangkaian pelancongan.
“Dengan penglibatan aktif dalam aktiviti promosi di seluruh China serta terus meningkatkan sambungan penerbangan, kerajaan negeri komited untuk memastikan Pulau Pinang kekal menjadi destinasi utama bagi pelancong China.
“Saya sebagai exco pelancongan akan terus melangkah ke hadapan, memfokuskan untuk memperluaskan rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.
Katanyam dengan kerjasama bersama syarikat penerbangan antarabangsa, kerajaan negeri berhasrat untuk mencipta lebih banyak pilihan perjalanan yang efisien dan mudah diakses oleh pelancongan.
“Rangkaian penerbangan yang kukuh amat penting untuk memastikan pertumbuhan berterusan dalam industri pelancongan Pulau Pinang, dan kami akan terus berusaha keras untuk merealisasikan matlamat ini,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Syajaratulhuda Mohd Rosli)