Pasukan TFFC Malaysia (U7) dinobat sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Thailand International Youth Cup 2024 kategori U7 yang berlangsung di Pattaya, Thailand pada 7 dan 8 Disember lalu.
Juara Kejohanan Bola Sepak Thailand International Youth Cup 2024
Menerusi satu kenyataan, TFFC Malaysia berkata pasukan itu menampilkan sebelas pemain iaitu Thariq Hadid, Muhammad Aniq Darwisy, Ibrahim Zidan, Amar Hasan, Muhammad Aqiel Zhafran, Muhammad Aqiel Zhariff, Mariam Sabrina, Mohamad Faiq Iskandar, Fahad Nazhan, Afeef Aldric dan Aali Harraz yang masing-masing berusia tujuh tahun.
Pasukan tersebut memulakan kempen dengan kemenangan besar 5-1 menentang pasukan Planet Football Academy Pattaya (U8) pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa Khamis lalu bagi membiasakan pemain dengan keadaan cuaca yang panas serta corak permainan pasukan luar negara.
“Secara keseluruhan pasukan TFFC Malaysia telah mengharungi kejohanan tersebut dengan rekod cemerlang tanpa kalah dari peringkat kumpulan hingga ke pentas final.
“Kekebalan benteng pertahanan pasukan ini terbukti dengan hanya bolos satu sahaja gol penalti sepanjang kejohanan yang dilepaskan dari sepakan penalti melawan Boas FC (HKG) pada peringkat kumpulan,” katanya pada Ahad.
Artikel lain: TMJ Perkenan Johor Jadi Tuan Rumah Acara Bola Sepak Sukan SEA 2027
Menurut TFFC Malaysia, pada hari pertama di peringkat kumpulan, pasukan itu telah merekodkan lima kemenangan bergaya 3-0 menentang PFA (THA), 6-0 PBIS (PHI), 2-1 Boas FC (HKG), 4-0 TSSA (THA) dan 7-0 OAZ (THA) yang meletakkan TFFC Malaysia mengungguli Kumpulan A dengan 15 mata dan layak ke peringkat seterusnya.
“Pasukan TFFC Malaysia telah memulakan hari kedua di peringkat Kumpulan Cup dengan dua keputusan seri tanpa jaringan melawan pasukan Sailors FS (SIN) dan Boas FC (HKG).
“Namun ia tidak melemahkan semangat pemain untuk meneruskan perjuangan dengan mempertajamkan rangkaian serangan bagi mendapatkan lebih gol.
“Pada perlawanan ketiga di hari kedua, pasukan ini tidak lagi menoleh ke belakang dengan tiga kemenangan yang amat meyakinkan 3-0 melawan Coerver (SIN), 2-0 Bangkok Football Academy (THA) dan 2-0 Makati (PHI) yang melayakkan pasukan TFFC Malaysia ke pentas final untuk melawan Boas FC (HKG),” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pasukan TFFC Malaysia berjaya mengekalkan rentak permainan mereka pada perlawanan akhir melawan pasukan Boas FC (HKG) sekali gus menjuarai kejohanan tersebut dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Muhammad Aqiel Zhariff.
Pada masa sama, penghargaan buat jurulatih Hariri Mohamed Azmi dan Mohd Afiq Abdul Hakim selain pegawai teknikal yang menyusun strategi bagi mengekalkan momentum pemain.
“Begitu juga dengan sokongan Pegawai Sains Sukan, Afryna Batrisyia dari Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi MARA, tahap kecergasan, kesihatan dan permakanan pemain-pemain dipantau dengan teliti bagi memastikan mereka sentiasa berada di dalam kondisi yang baik untuk bermain,” kata kenyataan itu lagi.
Susulan kejayaan tersebut, pemain-pemain TFFC Malaysia secara tidak langsung telah menjadi duta kecil negara Malaysia apatah lagi mempamerkan logo ‘Malaysia Truly Asia’ pada jersi rasmi serta mengedarkan cenderahati dan risalah dari Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) kepada semua pasukan lawan dan pihak penganjur.
Untuk makluman, Kejohanan Bola Sepak Thailand International Youth Cup 2024 kategori U7 turut disertai sebanyak 134 pasukan dari 11 negara.