Pandemik yang melanda dunia dua tahun lalu sememangnya satu sejarah baru buat semua. Seluruh rakyat di dunia ini terkesan dengan pandemik yang berlaku sehingga ramai yang kehilangan punca pendapatan.
Justeru itu, menerusi media sosial ramai golongan yang berkemampuan memilih untuk menghulurkan bantuan dengan cara masing-masing supaya mereka yang susah dapat dibantu.
Sama juga seperti yang ingin dilakukan oleh vokalis kumpulan dari Indonesia, Radja iaitu Ian Kasela yang mahu menjual cermin mata hitam koleksi peribadinya untuk kebajikan dengan harga RM88,165.
Nak bantu orang sekeliling
Akan tetapi, menerusi laporan dari Harian Metro, hasrat Ian tidak kesampaian kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah dan tidak seperti yang diharapkan.
“Ketika pandemik Covid-19 melanda Indonesia, memang ramai orang sekeliling termasuk jiran, kru Radja yang terkesan. Saya fikir cara yang boleh membantu mereka adalah dengan menjual sesuatu yang begitu dekat dengan saya. Disebabkan orang mengenali saya dengan imej cermin mata, jadi saya mahu menjual satu daripada koleksi yang ada.
Cermin mata itu sudah ada sejak saya mula bersama Radja, iaitu lebih 20 tahun lalu. Saya mahu menjualnya dengan harga 290 juta Rupiah (RM88,165). Namun, ia tidak terjual kerana ramai yang menawarkan harga rendah. Paling tinggi pun 119 juta Rupiah (RM35,961). Ada juga rakan artis yang membuat tawaran termasuk peminat dari Malaysia, tapi harga tak kena,” katanya.
Nafi jatuh susah time pandemik
Dia yang ditemui ketika sidang media Media Konsert Radja & Repvblik semalam juga menafikan dakwaan yang dia telah menjual koleksi cermin mata hitamnya kerana sudah kehabisan simpanan untuk meneruskan hidup sewaktu pandemik melanda.
“Alhamdulillah, sebenarnya itu tidak terjadi. Saya masih ada simpanan dan boleh menguruskan dengan baik. Saya nak jual koleksi cermin mata itu bukan untuk saya, tapi nak membantu orang sekeliling yang lebih susah. Duit ini bukan untuk peribadi.
“Kalau nak keluarkan duit simpanan sendiri ketika itu bagi saya ia bukan tindakan bijak. Jadi, saya perlu cari jalan yang lebih wajar untuk membantu. Itu yang timbul idea nak menjual cermin mata,” katanya.
Terdahulu, dia pernah dikhabarkan menghadapi kesulitan ekoran tiada pekerjaan selepas hampir dua tahun tidak ada sebarang tawaran bernyanyi akibat daripada pandemik.
Kumpulan Radja yang dikatakan telah berpecah dijangka akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 13 November depan dengan semua ahli kumpulan asal.
Sumber: Harian Metro Sudirman Mohd Tahir)