Remaja berusia 19 tahun yang didakwa memandu sebuah Mercedes Benz secara melulu dan berbahaya sehingga terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang pada Isnin lalu, disambung reman selama sehari lagi oleh Mahkamah Majistret.
Disambung reman

Foto: Bernama
Memetik lapran Berita Harian, perintah lanjutan reman itu dibenarkan oleh Hakim Mujib Saroji selepas tempoh reman selama dua hari terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor (PPNJ) hari ini susulan lanjutan tempoh reman berkenaan.
“Kita sedang menunggu arahan lanjut daripada PPNJ untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Terdahulu, suspek yang merupakan seorang penuntut universiti di Singapura tiba di Mahkamah Majistret Kluang kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis.
Suspek ditahan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios.
Siasatan mendapati suspek dipercayai memandu secara berbahaya bersama abangnya yang berusia 22 tahun dan memandu BMW 530e, sebelum berlaku nahas kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Dalam kejadian itu, abang kepada suspek turut maut akibat kemalangan berkenaan.
Semalam, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat sebelum mahkamah membenarkan permohonan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Artikel lain: Nahas Simpang Renggam: Pemandu 19 Tahun Direman Dua Hari
Nahas tersebut meragut nyawa Semek Mat Soh, 73, anak perempuannya Nor Azlina Abd Latip, 33, menantu lelakinya Aiman Mohd Rashid, 36, serta cucunya, Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Keempat-empat mangsa dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi dari Melaka ketika kemalangan tragis itu berlaku.
Sumber: Berita Harian (Alias Abd Rani)







































