Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang mengorbankan lima nyawa, termasuk empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Batu Pahat semalam.

Foto: Bernama
Perintah reman hingga esok itu dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek yang juga pemandu kereta jenis Mercedes-Benz A250, dan berpakaian lokap berwarna coklat, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 10.20 pagi dengan diiringi pegawai polis.
Semalam, polis mengesahkan penahanan remaja berkenaan susulan nahas ngeri yang membabitkan lima kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh dilapor berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki memandu kenderaannya secara melulu bersama-sama sebuah kereta BMW 530e yang dipandu oleh abangnya berusia 22 tahun.
Beliau berkata kemalangan pada 1.15 tengah hari itu berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz.
Akibat daripada perlanggaran itu, empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Foto: Media sosial
Sementara itu, abang suspek yang memandu kenderaan BMW 530e berkenaan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Dalam pada itu ibu kepada Nur Airish Syifa, Nurul Ain Mohd Rashid, 38, terkilan kerana hasrat anak kedua daripada dua beradik itu untuk melihat adiknya yang bakal dilahirkan pada November depan tidak kesampaian.
Suri rumah itu berkata anak perempuannya itu gembira apabila mengetahui dia mengandung kerana telah sekian lama Allahyarham ingin mempunyai seorang adik.
Nurul Ain berkata anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Emas II di Bandar Al Muktafi Billah Shah juga sering meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat serta bermain dengan bayi yang bakal dilahirkan itu.
“Nur Airish Syifa teruja untuk menyambut kelahiran adiknya dan tidak sabar pergi menemani saya membeli pakaian bayi untuk adiknya yang bakal lahir nanti,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktafi Billah Shah, Batu Pahat hari ini.
Nur Airish Syifa mengikut bapa saudaranya Mohd Aiman pulang ke Felda Ulu Sedili, Johor bersempena dengan musim cuti sekolah sejak Khamis lepas dan dijadual pulang pada Sabtu ini.
Sumber: Bernama







































