Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid hari ini memohon agar Mahkamah Tinggi mengembalikan pasport antarabangsa yang kini ditahan.
Menurut Ahmad Zahid, ketiadaan pasport telah menyukarkannya untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet sekiranya mempunyai urusan di luar negara.
Katanya, pasport antarabangsa sangatlah penting bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk urusan diplomatik iaitu keluar masuk negara.
“Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, saya dikehendaki berada di dalam dan di luar negara yang mana saya percaya perkara tersebut memerlukan pasport berada dalam pegangan saya sendiri,”ujarnya.
Oleh itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi agar pasport antarabangsanya yang ditahan sebagai syarat jaminan tambahan dikembalikan secara kekal semula secepat mungkin. Pun begitu, beliau tidak kisah sekiranya jumlah jaminan RM2 juta dikekalkan.
Katanya lagi, beliau tiada niat mahu melarikan diri atau tidak menghadiri diri pada prosiding mahkamah,sekiranya Mahkamah Tinggi mengembalikan semula pasport miliknya.
“Saya tiada niat larikan diri atau tak hadir prosiding mahkamah kerana saya masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik di Malaysia serta ahli keluarga saya kesemuanya berada di sini,”jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah setiap kali beliau perlu melaksanakan tugas rasmi ke luar negara.
Tegasnya lagi, dia tidak mempunyai niat jahat atau memprejudiskan mana-mana pihak selain memberi akujanji untuk tetap memberikan kerjasama penuh bagi menyelesaikan perbicaraan yang sedang berlangsung.
Untuk pengetahuan, pasport Ahmad Zahid ditahan oleh mahkamah hampir lima tahun lalu berikutan pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.
Difahamkan, Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 Januari lalu.
Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Aini Hamzah yang turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.
Mahkamah menetapkan 3 Februari ini untuk satu lagi pengurusan kes.
Sumber: Sinar Harian