Seorang lelaki berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas disyaki menyerang seorang remaja perempuan dengan sebilah parang ketika mangsa sedang membonceng motosikal di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling pada Isnin petang.
Remaja perempuan ditikam ketika dalam perjalanan pulang
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang ketika mangsa berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama kakak iparnya yang menunggang motosikal.
“Mangsa tiba-tiba berasa sakit di bahagian belakang sebelum meminta motosikal dihentikan di tepi jalan. Kakak iparnya kemudian terlihat seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha LC V8 berwarna biru gelap, memakai jaket gelap dan topi keledar berwarna biru jenis MS, memecut meninggalkan lokasi,” katanya.
Artikel lain: Cemburu Isteri Curang, Lelaki Tikam Rakan Serumah Sebelum Gantung Diri
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan tidak mempunyai sebarang masalah atau pertelingkahan dengan individu lain.
“Mangsa yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka baru tiga minggu berpindah dari Tangkak, Johor ke Melaka untuk bekerja sebagai operator kilang,” ujarnya.
Susulan laporan kejadian, polis melancarkan siasatan dan berjaya menahan suspek tidak sampai sehari selepas insiden berlaku. Suspek dijangka direman pagi ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan cedera parah selepas diserang oleh individu tidak dikenali ketika membonceng motosikal di kawasan Solok Tangga Batu.
Sumber: Sinar Harian (Nor Farhana Yaacob)
