Lima rekod kebangsaan yang pernah tercipta telah berjaya dipecahkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak semalam.
Menurut laporan Buletin TV3, tiga daripada lima acara tersebut adalah menerusi sukan olahraga yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya.
Foto: Majlis Sukan Negara
Ratu Pecut dari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal berjaya merangkul pingat emas sekali gus mencipta rekod kebangsaan berganda menerusi acara 200 meter (m) dan 100m.
Pelari berusia 20 tahun itu mencatatkan rekod kebangsaan baharu dengan catatan masa 23.89 saat (s), selepas memadamkan rekod kebangsaan 100m (11.64s) pada Isnin lalu.
Foto: Buletin TV3
Kuartet 4x400m lelaki Johor pula meleburkan rekod acara berkenaan dengan catatan masa baharu, 3 minit 12.35s melalui pelari Umar Osman, Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal.
Rekod baharu bagi acara dekatlon juga berjaya dicipta wakil Pulau Pinang, Wilson Quaik Zhen Han selepas mengumpul keseluruhan 6,690 mata, mengatasi 6,108 mata yang dipegang Mohammad Luqman Mohammad Zuki dari Kedah pada SUKMA 2016 di Sarawak.
Perenang dari wakil Wilayah Persekutuan, Bryan Leong Xin Ren mencipta rekod baharu bagi acara 50m kuak kupu-kupu lelaki sebanyak dua kali di Pusat Akuatik Pandelela Rinong semalam.
Foto: Majlis Sukan Negara
Pada saringan ketiga, Bryan memecahkan rekod 10 tahun milik Chan Jie dengan 24.81s, kemudian mencatatkan lagi rekod baharu 24.46s pada final.
Wakil tuan rumah, Hii Puong Wei juga memecahkan rekod dalam acara 200m kuak lentang lelaki selepas mencatatkan 2:06.59s sekali gus menjadikannya pemenang pingat emas.
Sementara itu, sebanyak 48 pingat emas akan dipertaruhkan hari ini, dengan 11 daripadanya di akuatik (lapan renang, tiga terjun) dan lapan lagi menerusi acara olahraga.
Sumber: Buletin TV3