Sosialit Switzerland, Jocelyn Wildenstein yang popular dengan gelaran ‘Catwoman’ kerana pembedahan plastik dilaporkan meninggal dunia secara mengejut.
Menurut laporan Dailymail, kematian mengejut mendiang Wildenstein pada usia 79 tahun itu telah disahkan menerusi satu kenyataan disiarkan oleh tunangnya yang juga pereka fesyen, Lloyd Klein, semalam.
‘Catwoman’ Meninggal Dunia
Foto: The Irish Sun
“Dengan rasa berat hati dan kesedihan yang amat mendalam, saya mengumumkan pemergian tunang tersayang serta teman hidup saya, Jocelyn Wildenstein,” katanya.
Wildenstein dilaporkan meninggal dunia dalam tidur pada petang 31 Disember lalu, di suite mewah di Paris yang merupakan penginapan sementara buat pasangan itu sejak Ogos lalu.
Klein memaklumkan bahawa dia cuba mengejutkan Wildenstein dari tidur untuk bersiap ke majlis makan malam sambutan Tahun Baharu, tetapi mendapati wanita itu tidak memberi respons.
“Doktor yang dipanggil ke lokasi mengesahkan punca kematian adalah kegagalan jantung, dan dia pergi dengan tenang dalam tidur,” tambahnya.
Foto: The Mirror
Memetik laporan Harian Metro, mendiang lahir di Switzerland pada 1945, Jocelyn Perisset menjadi seorang sosialit terkenal di New York selepas berkahwin dengan saudagar seni, Alec Wildenstein, dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Walaupun pasangan itu bercerai dengan penuh kontroversi pada akhir 1990-an, dia tetap menggunakan nama bekas suaminya merujuk kepada identitinya.
Wildenstein pernah menerima penyelesaian perceraian sebanyak AS$2.5 bilion (kira-kira RM11.5 bilion). Ia antara perceraian paling mahal dalam sejarah ketika itu.
Foto: Reddit
Artikel lain: Selepas Lapan Tahun, Angelina Jolie Dan Brad Pitt Sah Bercerai
Namun, penampilan luar biasanya yang diubah melalui pelbagai pembedahan plastik menjadikan dia tajuk utama tabloid.
Dia dikenali sebagai ‘Catwoman’ kerana bentuk mata menyerupai kucing yang dihasilkan melalui prosedur kosmetik.
Wildenstein pernah menafikan pembedahan itu dilakukan untuk memikat bekas suaminya.
“Saya tidak pernah mahu mengubah wajah saya,” katanya dalam satu temu bual dengan saluran televisyen Perancis, C8, pada musim luruh lalu, tetapi mengakui dia mungkin ingin ‘membesarkan sedikit bibir’.
Wildenstein berulang-alik di antara sama ada New York dan Miami. Dalam beberapa bulan terakhir hidupnya, dia aktif di media sosial, dengan lebih sejuta pengikut di Instagram.
Sumber: Dailymail, Harian Metro