Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM1.4 juta kepada 954 pemenang.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kempen ini bukan sekadar memberi ganjaran, tetapi juga bertujuan memperkukuh budaya menabung dalam kalangan masyarakat.
PTPTN lancar Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026
Beliau berkata, inisiatif ini diharap dapat menggalakkan disiplin menabung secara digital dan berterusan serta menarik minat generasi muda untuk mula menabung bagi masa depan mereka.
“Sambil menabung, rebutlah peluang menyertai Cabutan Simpan SSPN 2026 yang berlangsung di sepanjang tahun. Besar harapan saya, kempen ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Dengan sokongan bersama, bukan sahaja dapat memperkukuh Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan utama negara, malah dapat membentuk generasi yang lebih bersedia, berdaya tahan, dan berilmu selari aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid, Ketua-Ketua Eksekutif Agensi dan pengurusan PTPTN.
Kempen tersebut menawarkan tiga kategori cabutan, iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 (tahunan), Cabutan WOW! Plus Siri, dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!.
Hadiah utama bagi cabutan tahunan termasuk sebuah kereta Honda CR-V 1.5L E, manakala kategori siri menawarkan wang tunai sehingga RM20,000 dan kategori “Baru Slay!” pula motosikal Yamaha NVX 155.
Artikel lain: PTPTN Catat Kutipan Simpan SSPN Lebih RM251 Juta Dalam BMS 2025
Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 (tahunan) direka khas untuk menghargai pendeposit setia yang membuka akaun sebelum 31 Disember 2025 dan membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen.
Sementara itu, Cabutan WOW! Plus Siri terbuka kepada pendeposit baru dan sedia ada, dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! disasarkan kepada pendeposit berumur 16 hingga 29 tahun bagi menarik minat golongan muda.
Setiap simpanan bersih RM50 layak mendapat lima cabutan secara automatik dan pendeposit yang membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus akan menikmati cabutan berganda.
Simpanan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, kadar dividen kompetitif, dan simpanan dijamin kerajaan.
Selain itu, Geran Sepadan kini boleh dimohon sehingga RM5,000 bagi satu keluarga melalui Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).
Maklumat lanjut tentang Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.







































