Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengorak langkah yang unik dengan pembukaan kampus di Doha, Qatar sekali gus meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia lebih tinggi.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan itu melakar sejarah buat negara apatah lagi universiti itu bermula sebagai sebuah institusi pengajian awam Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Foto: FB Anwar Ibrahim
“Sebagai salah seorang yang menandatangani memorandum mendesak penubuhan sebuah universiti awam yang berteraskan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, saya berasa bangga untuk bersama-sama warga UKM di hari yang gemilang ini,” tulisnya pada Selasa.
Malah, Anwar berharap langkah dirintis UKM itu akan membuka laluan lebih luas dan besar kepada universiti awam Malaysia yang lain untuk mengorak langkah sama selepas ini.
Foto: FB Anwar Ibrahim
“Saya ingin memanjatkan rasa syukur kerana telah diberi kesempatan dan ruang ketimbang keberadaan saya di Doha untuk bersama-sama kepimpinan dan warga UKM untuk menyaksikan saat-saat yang unik dan bersejarah ini,” tambahnya lagi.
Foto: FB Anwar Ibrahim
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Qatar bermula Isnin atas jemputan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim