Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, dinobatkan sebagai juara Masters Indonesia selepas gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi, menarik diri daripada aksi final di Istora Senayan, sebentar tadi.
Kemenangan tanpa bertanding itu membolehkan pasangan negara meraih gelaran pertama mereka bagi musim ini.
Setakat ini, pihak penganjur belum mengeluarkan sebarang butiran lanjut mengenai punca sebenar wakil Jepun tersebut membuat keputusan menarik diri daripada pertembungan akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu.
Pearly-Thinaah Juara Masters Indonesia
Kejayaan di Jakarta ini pastinya menjadi pengubat duka buat Pearly dan Thinaah selepas permulaan musim yang agak perlahan.
Terdahulu, mereka tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia di laman sendiri sebelum bangkit mempamerkan peningkatan dengan mara ke separuh akhir Terbuka India, minggu lalu.
Kejayaan ini meletakkan mereka sebagai beregu wanita kedua negara yang berjaya bergelar Juara Masters Indonesia, mengulangi pencapaian yang pernah dilakar oleh gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011.
Artikel lain: Semangat Juang Tinggi! Pearly-Thinaah Rangkul Gelaran Juara Masters Kumamoto
Kejuaraan di Jakarta itu dijangka menjadi suntikan moral penting buat Pearly-Thinaah dalam misi memburu lebih banyak kejayaan pada siri Jelajah Dunia BWF musim ini, selain mengukuhkan status mereka sebagai antara gandingan beregu wanita terbaik dunia ketika ini.
Sumber: FB Badminton Association of Malaysia – BAM , Berita RTM
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































