Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa bersama Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah, dan pihak polis tidak berkaitan dengan perintah mahkamah.

“Dakwaan bahawa kerajaan negeri telah melanggar perintah mahkamah adalah tidak benar.
“Permohonan mereka untuk semakan kehakiman berhubung perintah pengusiran telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, dan permohonan penangguhan turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Jelas beliau, keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Julai yang menyatakan bahawa pekebun sepatutnya memohon perintah penangguhan di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 setelah permohonan semakan kehakiman ditolak.

“Namun, mereka terus ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah penangguhan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya. Oleh itu, permohonan tersebut ditolak,” katanya lagi.

Tegas beliau, dengan keputusan tersebut, tanah berkenaan adalah milik sah kerajaan negeri dan pihak berkuasa berhak mengambil tindakan terhadap mereka yang menceroboh tanah tersebut.

“Apabila tanah tersebut adalah milik sah kerajaan negeri, maka terserah kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menceroboh secara haram.
“Mereka yang menduduki tanah itu tanpa kebenaran tidak mempunyai sebarang hak ke atasnya dan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah, malah bersedia sekiranya pihak berkenaan mahu membawa perkara ini ke mahkamah,”jelasnya.

Artikel lain: Pekebun Dakwa Kerajaan Pahang Musnahkan Musang King, Langgar Arahan Mahkamah

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan 186 pekebun durian yang terlibat dalam pertikaian tanah dengan Pahang mendakwa kerajaan negeri telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang pokok durian Musang King mereka.

Advertisement. Scroll to continue reading.