Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tumpas dalam acara pecut di Sukan Olimpik Paris 2024, di pusingan 1/8 sekaligus mengulangi sejarah di Tokyo 2020 namun beliau mahu fokus keirin.
Memetik laporan Bernama, pelumba berusia 36 tahun itu tidak layak ke suku akhir selepas menduduki tempat ketiga pada pusingan repechage 1/8.
Tamat saingan acara pecut, Azizulhasni fokus keirin
Foto: Harian Metro
Menurut catatan masa, Mohd Azizulhasni yang juga terkenal dengan jolokan The Pocket Rocekt Man itu ketinggalan 0.190s di belakang Mateusz Rudyk dari Poland yang mencatat 9.966 saat.
Manakala, pemenang tempat kedua pada pusingan itu pula, iaitu Mikhail Yakovlev dari Israel yang memegang catatan masa 10.020 saat sekaligus menyingkirkan Azizulhasni.
Walaupun beliau mengikut rapat di belakang Rudyk, namun begitu kejaguhan lawannya sukar ditentang dan pelumba pecut Poland itu memenangi acara tersebut dan mara ke suku akhir.
Sebelum ini, Azizulhasni terpaksa beraksi dalam repechage selepas tewas kepada Jeffrey Hoogland (9.772s) dari Belanda dengan ketinggalan +0.037s pada saringan 6 pusingan 1/8, sekaligus mengulangi sejarah Tokyo 2020.
Bagaimanapun, beliau berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 9.204s untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan, sekaligus mengatasi rekod yang dicapainya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai pada tahun lalu.
Foto: Kosmo
Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni berkata secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan permulaan kempen kali ini selepas berjaya mencapai catatan masa yang dia mahukan pada pusingan kelayakan.
“Perancangan awal kita adalah untuk berlumba satu demi satu pusingan. Saya gembira dapat kalahkan Luca Speigel dari Jerman dan Hamish Turnbull dari Great Britian.
“Perancangannya untuk kalahkan Hoogland tapi sebaliknya. Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat dari segi teknikal dan taktikalnya cuma saya tidak cukup laju.
“Ketika pusingan repechage, John Beasley berkata simpan tenaga untuk keirin. Jika ke pusingan repechage akan berdepan dengan pelumba-pelumba hebat seperti Harrie Lavresyen (Belanda) di suku akhir dan saya membazir tenaga. Saya akan simpan tenaga untuk perlumbaan seterusnya pada 8 malam esok,” katanya.
Foto: Bernama
Terdahulu, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mara ke pusingan 1/16 selepas menghadapi cabaran sukar daripada Yakolev di pusingan 1/32 acara berkenaan.
Muhammad Shah kemudian turut gagal menebus kekecewaan di pusingan repechage 1/32 apabila sekadar menduduki tempat kedua dalam saringan ketiga di dibelakang pelumba Lithuania Vasilijus Lendel mara ke pusingan 1/16.
Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus seterusnya akan turun beraksi dalam acara utama, keirin bermula Sabtu ini, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan beraksi dalam acara pecut wanita bermula Jumaat.
Sumber: Bernama