Gambar tular memaparkan seorang murid sekolah rendah berlumuran darah bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan, sebaliknya akibat kemalangan ketika bermain bersama rakan.
Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, mengesahkan perkara itu selepas menerima laporan daripada guru besar sekolah terbabit di Sipitang.

Foto: Sinar Harian
“Hasil siasatan awal mendapati insiden tersebut tidak melibatkan sebarang unsur buli atau pergaduhan. Ia merupakan kemalangan yang berlaku ketika bermain sesama sendiri.
“Terdapat murid yang bermain menggunakan tali pinggang sebelum bahagian tali itu terkena pada mangsa hingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Artikel lain:Murid Tahun Empat Meninggal Dunia Di Sekolah, Siasatan Ada Kaitan Unsur Buli
Beliau menambah, pihak sekolah segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Gambar yang tular itu sebenarnya dirakam semasa murid berkenaan dibawa ke hospital. Ibu bapa mangsa juga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut,” ujarnya.
Raisin turut menegaskan bahawa pihak sekolah akan terus menitikberatkan aspek keselamatan serta mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.
“Guru besar sekolah berkenaan juga mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden yang berlaku,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang tular di media sosial.
“Kes ini masih dalam siasatan dan difahamkan ia melibatkan sesama murid,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)
