Seorang lelaki dan teman wanitanya berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya, dua minggu lalu.
Lelaki dan teman wanita berdepan hukumat mati
Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh lelaki M Sri Darvien, seorang penganggur dan teman wanitanya, D Thineswary hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Foto: Sinar Harian
Menurut pertuduhan, Sri Darvien didakwa membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, 20, di sebuah unit kondominium di Persiaran Multimedia, Cyberjaya antara jam 9.11 malam hingga 11.31 malam, pada 23 Jun lalu.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Artikel lain: Ibu Subahat Biar Teman Lelaki Perkosa Anak Kandung
Sementara itu, Thineswary pula didakwa bersubahat dengan tertuduh utama dalam pembunuhan tersebut di lokasi sama, namun pada waktu berbeza iaitu sekitar 12.30 tengah hari pada tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman serupa.

Foto: BH
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap lelaki dan teman wanitanya itu dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen bedah siasat dan laporan kimia.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala Sri Darvien diwakili peguam M Manoharan dan Thineswary diwakili Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Foto: BH
Untuk rekod, mangsa yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berasal dari Sarawak, ditemukan meninggal dunia di kediamannya di kondominium berkenaan pada 24 Jun lalu kira-kira jam 10 pagi.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)
