Penganjur program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza, Mohd Khairul Hafiz Hassan memohon maaf kepada semua pihak berhubung insiden pengibaran bendera Israel semasa persembahan sketsa dalam program tersebut di Kota Bharu, pada 10 Oktober lalu.
Insiden kibar bendera negara haram
Beliau menjelaskan, penggunaan bendera tersebut hanyalah sebahagian daripada lakonan semula bagi menggambarkan kekejaman rejim terhadap rakyat Palestin, bukannya bertujuan untuk mengagung-agungkan bendera berkenaan.
“Saya ingin menegaskan, tidak ada niat untuk memuliakan bendera Israel. Ia hanya digunakan sebagai prop dalam sketsa bagi menunjukkan keganasan rejim Zionis yang menawan Gaza dan Palestin,” katanya dalam satu kenyataan video di TikTok pada Ahad.
Mohd Khairul turut menjelaskan bahawa lakonan itu berlangsung selama enam minit sahaja, dan bendera itu diturunkan sebaik sahaja persembahan selesai serta diakhiri dengan bacaan doa Qunut Nazilah sebagai simbolik doa untuk kemenangan umat Islam di Palestin.
Beliau turut memohon maaf kepada orang awam serta netizen yang mungkin salah faham terhadap konteks sebenar persembahan tersebut kerana tidak mengikuti keseluruhan perjalanan program dari awal hingga akhir.
“Saya mohon maaf sekiranya ada yang tersinggung atau salah faham. Program ini dibuat sepenuhnya atas inisiatif orang awam dan sumbangan individu, tanpa melibatkan mana-mana parti politik atau dana kerajaan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya sebagai penganjur dan sedia disiasat pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi penjelasan lanjut.
Artikel lain: Negara Bergolak Bukan Penghalang, Pelajar PhD UIAM Gigih Siapkan Kajian
“Saya akan beri kerjasama baik kepada semua pihak berkuasa atau kerajaan yang ingin mengambil kenyataan daripada saya,” katanya.
Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza diadakan bagi menyatakan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, melibatkan penyertaan lebih 780 buah bot menyusuri Sungai Kelantan, bermula dari Jeti Pulai Pisang sehingga ke Lembah Sireh.
Sumber: TikTok @elhafizloyeven & @aqmams
