Seorang peguam menggesa polis menjalankan siasatan berhubung keadaan anak guamnya yang dilihat mengalami kecederaan selepas berada semalaman dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, lapor Malaysiakini.
S. Vinesh berkata, anak guamnya yang merupakan seorang pengusaha trak tunda berusia 40 tahun berada dalam keadaan sihat ketika ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes serangan dan khianat api yang menyasarkan pempengaruh media sosial, Cikgu Chandra.
Namun, lelaki itu didapati mengalami beberapa lebam pada anggota badan serta kelihatan sangat lemah dan tidak bermaya ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada keesokan harinya, Ahad bagi prosiding permohonan reman.
“Soalan saya sebagai peguamnya hanya satu: Macam mana anak guam saya yang sihat pada hari pertama ditangkap dan dibawa ke mahkamah.
“Hari kedua dibawa untuk sambung reman, tak boleh jalan dengan betul, kaki tangan bengkak, kepala bengkak, tidak boleh bernafas. Apa yang telah berlaku dalam jangka masa satu hari tersebut.
“Pihak kami bukan nak salahkan PDRM, tapi kami nak tahu apa berlaku pada dia. Kami mahu polis menyiasat siapa yang mungkin menyebabkan perkara ini, dan mengapa dia tidak segera dibawa ke hospital?,” katanya kepada Malaysiakini.
Vinesh berkata, anak guamnya ditahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api bagi membantu siasatan kes serangan rumah Cikgu Chandra.

Foto: Harian Metro
Menurutnya, pada peringkat awal polis memperoleh perintah reman selama dua hari terhadap lelaki berkenaan.
Katanya, pihak berkuasa kemudian membawa lelaki itu ke mahkamah pada Ahad bagi memohon pelanjutan tempoh reman. B
Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak oleh majistret yang sebaliknya mengarahkan agar lelaki itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dalam pada itu, Vinesh mendakwa polis kemudiannya menahan semula anak guamnya bagi membantu siasatan berasingan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda, yang turut dikaitkan dengan serangan terhadap pempengaruh sama.
Sementara itu, isteri suspek turut membuat laporan polis semalam berhubung keadaan suaminya dan merayu agar lelaki itu dibenarkan mendapatkan rawatan perubatan.







































