Warga emas yang menjadi bualan di TikTok kini, Kak Cik Yah mahu kolaborasi masak bersama pencipta kandungan popular Khairul Aming.
Memetik laporan BERNAMA, Kak Cik Yah atau nama sebenar Nariah Ahmad, 75, berkata dia meminati video masakan Khairul Aming dan berharap mempunyai peluang untuk bekerjasama suatu hari nanti.
“Kak Cik Yah suka tengok dia (Khairul Aming) masak, mahu la juga kalau dapat jumpa dan masak dengan dia,” katanya yang memiliki perwatakan ceria dan peramah.
Berkongsi tentang perancangannya, Nariah berhasrat untuk terus berkongsi resipi dengan pengikutnya kerana ia merupakan terapi buatnya.
Difahaman, populariti akaun @kakcikyah4 meningkat dengan ketara, bukan sahaja rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur dan bangsa, tetapi juga peminat dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Jumlah pengikutnya di TikTok melonjak daripada ribuan kepada lebih 300,000 dalam masa yang singkat.
Artikel lain: Kak Cik Yah ‘Upgrade’ Perkakas Dapur Lepas Video Masak-Masak Tular
Kak Cik Yah Mahu Kolaborasi Masak Bersama Khairul Aming
Sering memulakan videonya dengan ungkapan “Assalamualaikum, mola-mola (mula-mula) Kak Cik Yah”, gaya komunikasinya yang bersahaja seperti seorang nenek mengajar cucu memasak telah menyentuh hati ramai netizen, sehingga ada yang menganggapnya sebagai ‘nenek online’ mereka.
Nariah, yang sebelum ini berniaga karipap dan acar limau, berkongsi bahawa semua resipi yang dikongsi adalah ciptaannya sendiri selain resipi turun-temurun. Dia mempunyai empat anak dan tujuh cucu, dan walaupun videonya belum tular sebelum ini, dia menganggap popularitinya kini sebagai rezeki Ramadan.

Sejak tular, Nariah semakin sibuk dan baru-baru ini mengikat kontrak dengan sebuah syarikat berasaskan kambing selama dua bulan, menyebabkan dia kini dibantu oleh seorang pembantu yang menguruskan jadual hariannya.
Anak-anaknya memberi sokongan penuh dan menasihatinya supaya menjaga diri serta memastikan mendapat rehat dan tidur yang mencukupi.
“Alhamdulillah, anak-anak semua bagi sokongan tapi mereka nasihat supaya Kak Cik Yah sentiasa jaga diri serta pastikan dapat rehat dan tidur yang mencukupi.
“Kehidupan Kak Cik Yah macam biasa saja cuma kalau hari biasa tu sibuk sikitlah, tak sempat nak berjalan-jalan macam selalu tapi Kak Cik Yah okay,” katanya.
Meskipun beruisa 75 tahun, Nariah bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik tanpa sebarang penyakit, malah masih mampu bergerak sendiri untuk ke kedai dan menaiki komuter untuk pulang ke kampung halamannya di Mata Ayer, Perlis.
Tahap penglihatan, pendengaran serta daya ingatannya juga masih baik. Menurutnya, tiada petua khusus diamalkan, tetapi tip untuk kekal sihat adalah dengan sentiasa berfikiran positif, kekal tenang dan tidak terlalu memikirkan hal-hal yang boleh mengganggu emosi.
Kongsinya lagi, selepas kematian suami pada 2020 akibat kencing manis dan sakit jantung, Nariah menjalani kehidupan seperti biasa.
Anak-anaknya tinggal berasingan, tetapi dia sentiasa memenuhkan harinya dengan pelbagai aktiviti selain gemar berjalan kaki sebagai satu daripada senaman yang menyihatkan.
Sumber: Bernama (Siti Azila Alias)
